suria

Bantuan untuk orang Melayu tetap diteruskan : Najib

KUALA LUMPUR: Bantuan kepada orang Melayu tetap diteruskan kerana secara keseluruhan mereka dilihat masih lagi ketinggalan dan memerlukan bantuan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata sekalipun ada yang mendabik dada bahawa mereka tidak lagi memerlukan sokongan, hakikatnya masih ramai yang memerlukan pertolongan kerajaan.

"Hari ini kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif serta Dasar Ekonomi Baru (DEB) begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka tidak perlu lagi topang dan sangga.

"Katanya mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan. Tampaknya golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar," kata Presiden Umno itu ketika berucap di hadapan lebih 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti di sini.

Najib: "Maksud saya jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orangorang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan?

"Adakah adil namanya jika topang ini dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung kepadanya."

Dalam ucapan dasar sulung beliau yang bertema "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan" itu, Najib berkata tidak ada siapa dapat menafikan orang Melayu menikmati faedah yang besar hasil pelaksanaan DEB dan kini mempunyai kelas menengah yang besar.

"Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1971. Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa hari ini terdapat golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai mahsul daripada langkahlangkah Dasar Ekonomi Baru," katanya.

Namun, kata Najib, isu sebenar bukanlah soal bantuan tetapi soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut yang berfokus kepada yang masih memerlukan.

"Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan memerlukan bantuan. Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain