suria

10 tahun penjara bagi 7 penghuni pusat serenti

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas tujuh penghuni Pusat Serenti kerana menyebabkan kematian seorang penghuni ketika rusuhan di Pusat Serenti Karangan, Kulim, Kedah, enam tahun lalu.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan pilihan iaitu merusuh yang menyebabkan kematian Seow Hock Seng, 45, kirakira 7.10 malam di Asrama Cahaya, pusat berkenaan pada 21 Mei, 2003.

Tertuduh tersebut ialah Nordin Murad, 50, Norazmi Mohd Noor, 38, Azhar Hassan, 35, Jamal Mohamad, 38, Hamzah Cholan, 54, Mohd Azizi Mat Noh, 29 dan Azahar Ahmad, 41.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak memerintahkan hukuman tersebut berkuatkuasa mulai tarikh tangkapan pada hari kejadian.

Terdahulu itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Bagaimanapun, pendakwaan kemudian mengemukakan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 149 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 304 kanun yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Sofian berkata kumpulan tertuduh itu bernasib baik kerana terlepas dari hukuman gantung selepas tuduhan mereka dipinda.

Mengikut fakta kes, kumpulan tertuduh itu memecahkan masuk ke asrama dan bergaduh dengan sekumpulan penghuni berbangsa Cina dengan menggunakakan beberapa jenis senjata termasuk tukul besi, rotan, kepingan kayu dan batang besi.

Pergaduhan tersebut berlaku selepas kumpulan tertuduh tidak berpuas hati dengan Seow yang menyerang Nordin terlebih dahulu kerana didakwa mencela.

Selepas pergaduhan itu berakhir, pegawai pusat berkenaan menemui beberapa penghuni Cina mengalami kecederaan dan mereka dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan.

Bagaimanapun, Seow meninggal dunia enam hari kemudian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Nordin, Norazmi, Jamal, Hamzah dan Azahar diwaikili peguam Ali Munawar Razak manakala Azhar dan Mohd Azizi oleh Burhanudeen Abdul Wahid.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ridha Abdah Subri. BERNAMA

Artikel Lain