suria

Pemuda Umno tetap sasaran kembalikan sokongan kepada BN

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan agar satu set penanda aras dibentuk sebagai garis panduan gerak kerja pergerakan itu bagi menilai rekod pencapaian pemimpin dan ahlinya.

Beliau berkata penanda aras tersebut adalah sejajar dengan hasrat untuk menyahut semangat 1Malaysia yang mementingkan prestasi demi rakyat.

"Penanda aras yang perlu diterapkan ialah pertamanya untuk meningkatkan keahlian Umno khasnya keahlian baru golongan muda yang menyertai parti dan yang keduanya adalah mendaftarkan ahli-ahli Umno sebagai pengundi di kawasan masing-masing.

"Ketiganya ialah menjalinkan hubungan antara Pemuda bersama golongan yang berpengaruh dalam menjana perspektif generasi muda, atau opinion-shapers seperti kumpulan cendekiawan, profesional muda, penulis muda, tokoh agama dan pendidik," katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Pemuda Umno di sini hari ini.

Selain itu katanya, bagi penanda aras keempat, ia menerapkan supaya pergerakan itu memenangi perang mesej atau perang saraf terutamanya di alam siber yang menjadi platform komunikasi politik masa kini.

"Penanda aras yang terakhir dan yang paling penting untuk menilai prestasi Pemuda adalah dengan menambahkan undi golongan muda kepada Barisan Nasional (BN) sekaligus memenangi undi saluran muda dalam pilihanraya.

"Set penanda aras ini selari dengan transformasi Umno untuk menyegar dan meremajakan lagi parti," katanya.

Jelasnya penanda aras yang dicadangkannya itu adalah berdasarkan kepada lima Rukun Pemuda iaitu bersatu, berprinsip, inklusif, relevan dan proaktif yang menjadi asas kepada proses transformasi.

Dalam pada itu, dalam ucapan dasarnya Khairy juga berkata, secara keseluruhannya Pemuda menyokong penuh cadangan pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas, esok.

"Pemuda meletakkan harapan supaya segala pindaan tersebut akan diterima kerana ia secara langsung memberi pengiktirafan khusus kepada orang muda.

"Pemuda juga menganggap pindaan ini tepat pada waktunya dan berharap ia merupakan satu langkah permulaan bagi lebih mencerminkan profil Umno sebagai parti akar umbi yang terbuka dan demokratik.

"Adalah menjadi harapan Pemuda, sekiranya sistem baru ini berjalan lancar agar akhirnya satu hari nanti kuasa pemilihan ini diberi kepada kesemua tiga juta ahli Umno," katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Rembau itu turut mencadangkan lima langkah mesra bagi golongan muda untuk dipertimbangkan oleh kerajaan pada pembentangan Bajet 2010.

"Kita berharap kerajaan boleh mempertimbangkan beberapa inisiatif khas untuk generasi muda sebagai salah satu daripada teras utama dalam Bajet akan datang yang antara lainya meliputi peluang perkerjaan yang lebih luas serta berkualiti tinggi terutamanya di sektor-sektor strategik seperti perkhidmatan, teknologi maklumat dan bio-teknologi serta peluang latihan sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran seperti penguasaan bahasa-bahasa antarabangsa dan teknologi terkini," katanya.

Katanya lagi, cadangan itu juga termasuk memberikan pinjaman khas untuk usahawan muda, terutamanya bagi mengatasi halangan modal perniagaan di peringkat start-up atau permulaan serta bagi menggalakkan penyertaan mereka di sektor-sektor baru yang berteknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah kepada ekonomi.

"Bagi pinjaman khas untuk usahawan muda, mungkin juga kerajaan boleh menubuhkan bank belia atau bank Pemuda bagi tujuan itu," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan.

Selian itu turut dicadangkan ialah sokongan bagi gerak kerja sukarelawan dan pembangunan kebajikan komuniti serta menambahkan lagi peluang pekerjaan untuk pelajar lepasan aliran teknikal dan vokasional.

Artikel Berikut

Artikel Lain