suria

Nik Aziz mahu nama Inggeris ditukar ke Bahasa Melayu

KOTA BAHARU: Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan pihak berkuasa kerajaan tempatan di Kelantan menukar nama jalan dan premis berunsur Inggeris kepada bahasa Melayu.

Beliau mengakui beberapa bangunan milik anak syarikat kerajaan negeri yang baru beroperasi seperti Kelantan Trade Centre, Kota Baharu Trade Centre dan KB Mall menggunakan nama berunsur Inggeris.

"Betul nama itu sengaja bubuh begitu, boleh jadi kerana nak popularkan nama itu untuk menarik perhatian umum di peringkat antarabangsa, seperti hotel, maka digunakan bahasa Ingeris supaya (pelancong) Inggeris tahu. Benda tu boleh kita kaji semula, tak jadi masalah," katanya selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Kelantan di sini hari ini.

Nik Aziz berkata beliau tertarik dengan pendapat seorang tokoh bahasa Melayu, Prof Dr Teo Kok Seong dari Institut Akademi Tamadun Melayu, yang mempersoalkan nama kereta nasional berunsur Inggeris seperti MyVi, Exora dan Satria Neo.

Beliau juga meminta pegawai kerajaan negeri supaya membiasakan diri menggunakan tulisan jawi dalam minit mesyuarat selain tulisan rumi. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain