suria

Tertuduh pertama belasah bapa dan ibu saudaranya, kata saksi

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam kes pembunuhan sepasang suami isteri pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa anak saudara mereka yang merupakan tertuduh pertama telah membelasah mangsa dengan harapan mereka akan sihat selepas itu.

Roslan Mustafa, 41, yang merupakan ustaz yang pernah merawat Muhammad Ilyas Abdul Razak, 23, (tertuduh pertama) kerana dikatakan mengalami gangguan jin, berkata beliau dimaklumkan perkara itu melalui telefon oleh bapa tertuduh ketika kejadian itu sedang berlaku.

Katanya, ekoran terkejut mendengar berita itu beliau tibatiba menjadi marah dan menyuruh Abdul Razak memanggil ambulans dan sempat bercakap dengan Muhammad Ilyas tentang apa yang telah dilakukannya.

"Apabila saya bercakap dengan Abdul Razak (bapa tertuduh), dia jawap dengan intonasi yang agak tenang dan berkata Muhammad Ilyas telah membuat rawatan pada Ibrahim (mangsa) dan isterinya, saya terus potong (percakapan) dan dengan nada keras dan marah saya bertanya siapa yang suruh dia membuat rawatan.

"Saya suruh Abdul Razak panggil ambulans. Abdul Razak beritahu yang Ibrahim dan isterinya tak bangun lagi tetapi Abdul Razak berkata bahawa Muhammad Ilyas memberitahu InsyaAllah bila mereka (kedua mangsa) bangun, mereka akan sembuh. Tetapi saya suruh juga panggil ambulans dan dengan spontan saya katakan ia penipuan dan tiada siapa suruh buat macam ini. "Dalam keadaan tidak tahan marah saya suruh Abdul Razak memanggil Ilyas dan saya marah dia kenapa buat macam ini. Dia (Muhammad Ilyas) kata ya ustaz, tak betul ke? Saya kata apa yang kamu buat ni, panggil bapak, suruh panggil ambulans.

"Kemudian dalam pukul 1 pagi, Abdul Razak telefon dengan nada yang perlahan macam baru sedar dan memberitahu saya yang mereka ditahan polis dan Ibrahim serta isterinya telah meninggal dunia, terkejut saya hingga tidak boleh tidur," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin.

Muhammad Ilyas, 23, dituduh bersamasama dengan adiknya Muhammad Fauzi, 21, serta sepupunya Muhammad Nizam Mohd Ibrahim (anak mangsa) membunuh Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan Rosina SM Mydin Pillay, 42, di rumah No 57C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga, di sini pada 1 Okt 2008 antara pukul 12 tengah hari dan 8 malam.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Terdahulu Roslan memberitahu bahawa dia pernah merawat Muhammad Ilyas setelah dihubungi bapanya yang mengadu tentang gangguan jin dan sihir tetapi setelah berjumpa dengan Muhammad Ilyas beliau mendapati tiada gangguan sihir hanya sedikit gangguan jin kerana beliau lemah dan tidak mengamalkan ajaran Islam yang betul.

Katanya sepanjang rawatan itu Muhammad Ilyas dan Abdul Razak sering bertanya mengenai perkara mistik dan percaya bahawa Muhammad Ilyas boleh mengubati orang walaupun beliau menafikannya. "Abdul Razak beritahu yang Muhammad Ilyas boleh merawat orang sakit tetapi saya nafikan sebab saya telah katakan yang untuk rawat orang kita kena ada guru dan bukannya boleh terus rawat orang. Setiap kali mereka sarankan saya nafikan kerana Muhammad Ilyas tidak pernah belajar dari manamana," katanya.

Walaupun telah diberitahu supaya jangan mempercayainya, keluarga itu bagaimanapun tidak mengendahkannya dan menurut Roslan ada suatu ketika dia dihubungi Abdul Razak untuk memberitahu bahawa Muhammad Ilyas telah menggunakan kayu untuk rawat tempat yang sakit dan kemudiannya pesakit telah sembuh walaupun berdarah di kepala.

Ditanya adakah Islam membenarkan perubatan dengan cara begitu (menggunakan kayu), Roslan berkata: "Tidak sama sekali."

Dalam prosiding ini Roslan yang mempelajari ilmu merawat pesakit menggunakan kaedah Islam, menafikan tindakan yang dilakukan oleh tiga tertuduh itu (memukul untuk merawat) adalah kerana dipukau sebaliknya membuat kesimpulan bahawa mereka mungkin sedang 'menurun' sepertimana mereka yang bermain kuda kepang.

Tegasnya lagi sepanjang perkenalannya dengan ketigatiga tertuduh, seluruh keluarga itu sihat seperti orang lain sebelum kejadian termasuk Muhammad Ilyas cuma sesekali tertuduh itu berhalusinasi sendiri dan beranggapan dia berkeupayaan mengubat orang lain serta mendapat ilmu kerohanian.

Sebelum kejadian pembunuhan itu Roslan berkata beliau berhasrat untuk memberitahu Abdul Razak supaya membawa Muhammad Ilyas ke hospital bagi mendapatkan rawatan fizikal kerana tiada lagi gangguan jin tetapi tidak kesampaian kerana keadaan persekitaran ketika itu.

Selain itu, Roslan yang ditunjukkan tayangan video berhubung dengan mangsa dibelasah ketigatiga tertuduh walaupun sudah tidak bernyawa, berkali-kali beristigfar dan mengalihkan pandangan ke arah lain kerana gerun melihatnya. Ditanya apakah yang dapat disimpulkan dengan perbuatan itu, Roslan berkata: "Seperti tidak percaya macam mana mereka boleh buat macam ini. Pelik. Ini bukan orang yang normal buat. Ini adegan orang tidak waras. Keadaan ini tidak perlu pengaruh pukau tetapi pengaruh menurun yang mengikut kehendak hati. Dia ingin buat apa sahaja."

Sepanjang memberi keterangan, Roslan yang sentiasa tenang turut memberitahu bahawa beliau dan bapa tertuduh, Abdul Razak, sebelum ini adalah pengikut Al Arqam tetapi beliau (Roslan) berhenti setelah pertubuhan itu diharamkan. Bagaimanapun, menurut Roslan, Muhammad Ilyas bukanlah pengikut Al Arqam.

Dalam prosiding lepas mahkamah ditunjukkan adegan ketigatiga tertuduh memegang gambar pemimpin kumpulan itu, Ashaari Muhammad sambil berikrar taat setia.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah disambung esok. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain