suria

Mahkamah tetapkan 22 Okt untuk keputusan berhubung kes Anggota Parlimen Puchong

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasakuasa Khas) menetapkan 22 Okt untuk keputusannya berhubung permohonan Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo untuk menarik balik arahan penggantungannya selama setahun yang dikenakan oleh Speaker Dewan Rakyat, pada Mac tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Ariff Md Yusof memaklumkan peguam Gobind, Karpal Singh dan Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi untuk memfailkan hujahan bertulis mengenai Seksyen 32 dan 33 Akta Dewan Rakyat (Hak Istimewa) 1952.

Mohd Ariff berkata mahkamah memerlukan penjelasan berhubung isu pengiraan semula sama ada seorang anggota parlimen yang digantung boleh dilucutkan elaun dan faedahnya.

"Saya perlu kedua-dua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing Jumaat ini walaupun saya sedar Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk memecat anggotanya," kata Mohd Ariff.

Mohd Ariff juga mahu mereka memasukkan dalam hujahan bertulis mengenai kedudukan undang-undang lazim dalam isu ini.

Pada 23 April, Gobind memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon satu pengisytiharan bahawa penggantungannya sebagai Anggota Parlimen adalah batal dan tidak sah dan dalam samannya, beliau mendakwa bahawa penggantungan selama setahun, berkuatkuasa 16 Mac, bertentangan dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menamakan Speaker Dewan Rakyat, Mohamed Nazri, Setiausaha Dewan Rakyat dan kerajaan sebagai defendan.

Gobind memohon untuk mengisytihar bahawa surat bertarikh 18 Mac dan ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah, yang menggantung beliau sebagai Anggota Parlimen dan menarik semua elaun dan faedah sebagai Anggota PArlimen, adalah batal dan tidak sah kerana ia tidak boleh dikuatkuasakan di sini undang-undang.

Gobind, 36, juga mahu satu pengisytiharan bahawa beliau berhak kepada elaun dan kemudahan mengikut Artikel 64 dan bahawa prosiding dan keputusan Dewan Rakyat adalah tidak kebal untuk diadili di mahkamah. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain