suria

Gadis hamil ditahan seludup dadah dalam kapas

SHAH ALAM: Taktik menyeludup dadah jenis kokain dalam kapas terbongkar apabila seorang wanita warga Filipina ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Jumaat lepas.

Lebih mengejutkan, wanita itu yang kini hamil tujuh bulan dan belum berkahwin, ditahan ketika membawa kokain bernilai kira-kira RM460,000 dalam kapas yang disembunyikan dalam jaketnya yang berwarna kuning.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Selangor ACP Nordin Kadir berkata suspek yang berusia 24 tahun itu ditahan polis ketika dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di bangunan Satelit, KLIA, kira-kira 9 pagi.

"Setelah ditahan, kami dapati suspek membawa sebuah beg galas yang menyimpan jaket mengandungi kapas basah seberat dua kilogram. Apabila ujian dijalankan ke atas kapas itu, kami dapati kapas itu dicelup dengan cecair kokain.

"Turut dirampas adalah pasport milik suspek dan beberapa mata wang asing," kata beliau kepada pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini. Nordin berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan sepasukan anggota polis dari JSJK Bukit Aman dan KLIA sebaik tiba dari Buenos Aires, Argentina dan didapati menjadikan KLIA sebagai pusat transit untuk menyeludup kokain itu ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

"Suspek didapati menggunakan KLIA sebagai pusat transit, dipercayai untuk mengedar dadah, sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada bulan Mac dan Ogos tahun ini. Wanita tersebut dijadikan kurier (pembawa dadah) oleh sindiket dadah antarabangsa dengan dijanjikan upah sebanyak USD2,400, untuk mengedar dadah ke Vietnam," katanya.

Nordin berkata suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain