suria

Dr Mahathir minta Najib bantu MCA atasi krisis kepimpinan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membantu MCA menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu "di belakang tabir" agar tidak menyentuh sensiviti mana-mana pihak.

"Saya kena akui bahawa semasa menjadi pengerusi Barisan Nasional, saya campur tangan tetapi di belakang tabir, bukan secara terbuka. Kalau tidak orang sensitif sikit.

"Sebagai pengerusi BN kita sepatutnya boleh campur tangan dalam komponen parti," katanya kepada pemberita di sini.

Dr Mahathir yang ditemui pada majlis pelancaran Buku Amanat Ucapan Presiden Umno diminta mengulas sama ada BN patut campur tangan dalam isu MCA yang kini menghadapi krisis kepimpinan.

Ditanya sama ada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat wajar mengundur diri ekoran usul tidak percaya terhadapnya yang diluluskan oleh perwakilan pada mesyuarat agung luar biasa parti itu Sabtu lalu, Dr Mahathir berkata ia langkah wajar.

"Saya sebut Datuk Onn Jaafar (yang berundur diri sebagai Presiden apabila pandangannya tidak lagi diterima oleh Umno), kalau kita nak ambil iktibar daripada itu bolehlah. "Tapi bukan Datuk Ong Tee Keat saja, yang seorang lagipun tak dapat ni (sokongan)," katanya.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Dr Mahathir menyifatkan tindakan Datuk Onn berundur diri apabila cadangannya (agar Umno membuka pintu keahliannya kepada bangsa lain) ditolak oleh Umno ketika itu, adalah tindakan seorang lelaki budiman dan merupakan antara sumbangan terbesar Allahyarham kepada Umno.

"Beliau sepatutnya jadi Perdana Menteri yang pertama, tapi cadangan beliau tak dapat diterima oleh Umno, maka beliau dengan rela hati tarik diri. Ini sumbangan terbesar Datuk Onn.

"Apabila kita dah tak popular atau pendapat kita tidak lagi diterima, kita jangan timbulkan masalah, tapi undur diri dengan cara terhormat," katanya.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri waris-waris bekas presiden Umno terdahulu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain