suria

Prosedur lebih ketat mohon semula status warga negara

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang ingin memohon kembali status kewarganegaraan akan melalui prosedur lebih ketat kerana mereka telah menimbulkan keraguan terhadap bangsa, negara dan tanah air sendiri, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata mereka perlu memohon kembali kewarganegaraan mereka sama seperti warga asing yang ingin memiliki taraf kerakyatan Malaysia.

"Kadangkala bila melihat apa yang wujud dan sedia ada dalam negara tertentu, kita lihat cukup menarik apabila mendengar janji-janji pihak ketiga, tetapi apa yang kita harapkan tidak seperti yang kita impikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya kementerian itu di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan mengenai beratus-ratus rakyat Malaysia yang "mengoyakkan" pasport mereka dan berlepas ke Britain kerana percaya mereka boleh menuntut hak kerakyatan negara itu di bawah undang-undang kolonial dan akhirnya mendapati diri mereka kini tidak mempunyai negara.

Akhbar itu melaporkan mengenai seorang yang bernama Dee yang merupakan arkitek terlatih dari Pulau Pinang dan kini terpaksa bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran Cina di Britain, telah mengisi borang untuk melepaskan kerakyatan Malaysia tetapi kerajaan Britain masih menganggap beliau rakyat Malaysia sedangkan Malaysia menyatakan beliau bukan lagi berstatus warga negara.

Menurut Hishammuddin beliau memandang serius tindakan sebahagian rakyat Malaysia yang sanggup "membuang" status kewarganegaraan masing-masing sedangkan banyak pihak lain ingin memohon mendapatkan taraf kerakyatan negara ini. BERNAMA

Artikel Lain