suria

Polis Pahang rampas 15,000 karton rokok seludup

KUANTAN: Polis Pahang berjaya merampas 15,830 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta di sebuah rumah di Lorong Air Putih di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata berdasarkan maklumat awam, sepasukan anggota polis menyerbu rumah berkenaan pada pukul 5.50 petang.

"Ketika serbuan dilakukan, empat lelaki dalam lingkungan 30an dipercayai sedang membungkus kotak rokok di ruang tamu rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selain tangkapan empat lelaki itu, polis turut merampas wang tunai RM30,000 yang dipercayai hasil jualan rokok berkenaan selain dua buah kereta Proton Wira dengan sebuah daripadanya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Mohd Jasmani berkata rokok tersebut diseludup dari negara jiran yang dibawa masuk tanpa cukai kastam dan antara jenama yang dirampas ialah Harvy, Gudang Garam dan Abseolute.

"Kegiatan itu juga berjaya ditumpaskan hasil daripada risikan yang dipercayai mempunyai hubungan dengan rampasan rokok bernilai RM1.5 juta pada hujung bulan September lepas," katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati rumah sewa yang digunakan suspek dipercayai beroperasi selama tiga bulan sebagai tempat pengumpulan rokok sebelum diedarkan.

Katanya kes yang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 itu akan diserahkan kepada pihak Kastam bagi tindakan selanjutnya.

"Kes rampasan ini juga merupakan kejayaan terbesar yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dalam tempoh dua tahun ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain