suria

Pindaan perlembagaan Umno bakal iktiraf orang muda

KUALA LUMPUR: Pindaan perlembagaan Umno pada perhimpunan agung parti yang akan bermula esok, bakal memberi suntikan semangat kepada parti dan akan lebih mengiktiraf peranan orang muda dalam Umno, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Antara cadangan yang akan dibentangkan untuk pindaan dalam perhimpunan itu ialah memberi kuasa yang lebih kepada pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, selain pemansuhan sistem kuota bagi pencalonan dan membenarkan lebih ramai perwakilan akar umbi terlibat dalam pemilihan parti.

Sehubungan itu, Khairy mengingatkan Pemuda supaya tidak mensiasiakan pengiktirafan yang akan diberikan kepada mereka dan memastikan amanah daripada pucuk pimpinan itu ditunaikan sebaik mungkin.

"Tidak ada lagi alasan bahawasanya kita tidak diberikan hak politik dan sebagainya. Dalam pindaan ini Pemuda akan diberi hak politik yang cukup besar, jadi saya harap kita dapat manfaatkan pindaan ini untuk meningkatkan lagi prestasi kita," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat pemimpin Liga Pemuda Parti Komunis China yang diketuai setiausaha pertama jawatankuasa pusat parti itu Lu Hao, di sini hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah wakil daripada Pemuda MCA, MIC, Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP).

Mengenai pertemuan beliau dengan lima pemimpin tertinggi Liga Pemuda itu, Khairy berkata mereka membincangkan langkahlangkah untuk meningkatkan hubungan peribadi dan politik di antara keduadua pihak.

"Kunjungan ini merupakan langkah yang signifikan, antara China dan Malaysia, selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China...dengan kunjungan ini...mengukuhkan hubungan antara keduadua negara," katanya.

Turut dibincangkan ialah penubuhan sekretariat tetap untuk menganjurkan program antara keduadua belah pihak serta langkah untuk mengeratkan hubungan antara usahawan muda keduadua negara, katanya.

Mengenai perkataan "komunis" yang melambangkan sesuatu yang negatif di negara ini, Khairy yang tidak menyangkal perkara itu menjelaskan Parti Komunis di China telah mengalami pelbagai transformasi dan tidak mengamalkan amalan komunis yang kejam.

"Kita sebenarnya tidak faham istilah komunis. Mereka bukan komunis yang ganas seperti persepsi kebanyakan antara kita. Mereka juga telah mengamalkan amalan ekonomi yang terbuka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain