suria

Mesej 1Malaysia diterima rakyat Bagan Pinang

PORT DICKSON: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang menunjukkan mesej perpaduan melalui gagasan 1Malaysia diterima rakyat terutama di kalangan pengundi bukan melayu.

Ia juga membuktikan rakyat terus bersama Barisan Nasional (BN), selain menerima Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Sejak dari awal, pilihan raya kecil itu yang melibatkan 13,664 pengundi diramalkan berpihak kepada BN dan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun itu, tidak mengejutkan.

Sebelum kempen pilihan raya kecil itu bermula 3 Okt lepas, majoriti undi menjadi ukuran dan ternyata BN menang bergaya dengan 5,435 majoriti undi berbanding 2,333 majoriti undi yang diraih calon BN pada pilihann raya umum tahun lepas.

"Faktor Isa dekat dengan rakyat di akar umbi tidak boleh ditolak," kata pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata fakta Isa sebagai anak tempatan dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan telah memberi kelebihan kepada Isa berbanding lawannya, yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Keadaan itu juga menerangkan kenapa PAS lebih banyak program berbentuk "tinjauan mesra" di sepanjang kempen bagi memperkenalkan calonnya, berbanding Isa yang sememangnya popular dan mudah didekati, fokus kepada program keramaian.

Ternyata strategi PAS menyerang peribadi Isa secara bertubitubi dengan azam "satu isu, satu hari" tidak melekat di hati pengundi kerana sentimen politik di Bagan Pinang kali ini jauh berbeza ketika pilihan raya umum Mac 2008.

Tinjauan mendapati kebanyakan kempen PAS, sekalipun melibatkan penceramah "tersohor" seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mendapat sambutan penduduk tempatan kecuali dipenuhi beratus-ratus pemerhati luar.

Malah ketika menerima kekalahannya semalam, PAS terus menyatakan kekalahan parti itu disebabkan sistem undi pos tidak telus, sekalipun ia mendapat 601 undi pos berbanding 1,189 undi pos diperolehnya pada pilihan raya umum ke-12.

Undi pos diperoleh BN pula meningkat daripada 3,080 kepada 3,521 undi.

Namun pemerhati politik tempatan menyifatkan "perubahan" undi pos itu mungkin dipengaruhi janji kerajaan menjadikan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat dan sokongan diperoleh wakil PAS terdahulu, Ramli Ismail kerana beliau bekas tentera.

Pada pilihan raya umum ke12, Ramli tewas di tangan Azman Mohammad Noor dari BN.

"Mungkin juga tentera tersinggung kerana pemimpin pembangkang menyokong usaha membawa Chin Peng (bekas Setiausaha agung Parti Komunis Malaya) pulang ke Malaysia," kata pemerhati politik itu yang enggan dikenali.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, kemenangan BN itu menunjukkan rakyat terutamanya bukan Melayu mula menerima kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini dilihat dengan kemenangan BN di semua lapan peti undi termasuk di empat ladang iaitu di Ladang Atherthon, Ladang Bradwall, Pekan Siliau dan Sua Betong, yang didominasi kaum India, katanya.

"Namun ia bukan ukuran MIC mendapat sokongan kerana komponen lain seperti PPP (Parti Progresif Penduduk) malah Kelab Penyokong Barisan Nasional (KPBN) turut berkerja keras meraih sokongan orang India," kata Sivamurugan.

Seramai 1,387 pengundi India menyokong BN, manakala 483 setia dengan PAS.

Sepanjang lapan hari kempen itu berlangsung, mesej perpaduan dan gagasan 1Malaysia diterap secara konsisten dalam setiap ceramah BN dan diguna pakai dalam bahan kempen seperti kain rentang dan billboard. BERNAMA

Artikel Lain