suria

Lelaki rompak stesen minyak, larikan wang tunai RM15, 000

PASIR PUTEH: Seorang lelaki bersenjatakan pistol berjaya melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM15,000 dalam satu rompakan di sebuah stesen minyak di Kampung Gaal, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Kamal Zainal berkata rompakan itu berlaku kira-kira 2 petang ketika ketua kerani stesen minyak berkenaan sedang mengira wang jualan harian.

Beliau berkata suspek yang memakai topi keledar memasuki kedai di stesen minyak berkenaan sebelum mengacukan sepucuk pistol sambil meminta pekerja terbabit menyerahkan semua wang yang ada di atas meja dan dalam laci.

"Mangsa yang ketakutan menyerahkan semua wang kepada suspek dan suspek kemudian dikatakan melarikan diri dengan sebuah motosikal ke arah Jerteh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian, terdapat empat pelanggan yang sedang berurusan dan mengisi minyak ke dalam kenderaan masing-masing.

Mohd Kamal berkata polis kini melancarkan gerakan memburu suspek dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu tampil menyalurkan maklumat bagi membantu polis.

"Kita menghadapi sedikit kesukaran untuk mengenal pasti suspek kerana dia memakai topi keledar selain stesen minyak itu tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup," katanya. BERNAMA

Artikel Lain