KPDNKK rampas perisian cetak rompak bernilai RM794,300 daripada sebuah IPTS - Semasa | mStar

KPDNKK rampas perisian cetak rompak bernilai RM794,300 daripada sebuah IPTS

PUTRAJAYA: Bahagian Penguatkuasa kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah merampas sejumlah perisian komputer yang dipercayai melanggar peraturan bernilai RM794,300 daripada sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kota Kemuning, Selangor pada Khamis lepas.

Ketua Pengarahnya, Mohd Roslan Mahayudin berkata rampasan ini kali pertama membabitkan institusi pendidikan yang disiasat di bawah Akta Hakcipta 1997.

"Pegawai penguatkuasa mengesan 58 salinan perisian yang melanggar peraturan dalam lapan komputer yang bernilai RM24,000 di pejabat pentadbiran institusi itu dan kita telah merampas kesemua untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita pada satu sidang yang diadakan di sini hari ini.

Dalam satu lagi serbuan terhadap sebuah syarikat teknologi maklumat di Kuala Lumpur pada 7 Okt, bahagian penguatkuasa KPDNKK merampas 74 salinan perisian cetak rompak yang dianggarkan bernilai RM125,800 dalam lapan buah komputer yang bernilai RM21,000 untuk siasatan lanjut.

"Kebanyakan suspek yang menggunakan perisian cetak rompak yang dikenakan tindakan ini menggunakan pelbagai versi program komputer seperti program Adobe, Autodesk, Microsoft dan Solidworks," katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun ini bahagian itu telah mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap 30 buah syarikat yang menggunakan perisian cetak rompak dan telah merampas 178 komputer, 2,106 salinan dipercayai perisian cetak rompak dan perisian tanpa lesen yang nilai keseluruhannya berjumlah RM7.6 juta.

Ditanya sama ada penguatkuasaan hanya tertumpu kepada pihak pengguna berbanding pihak yang bertanggungjawab sebagai pengeluar dan pengedar perisian cetak rompak berkenaan, Mohd Roslan berkata anggotanya tetap meneruskan penguatkuasaan terhadap pengeluar bahan tersebut dan dua buah kilang yang menghasilkan perisian cetak rompak telah diserbu pada Mac dan Mei tahun ini.

Pengarah Kanan Anti Cetak Rompak Business Software Alliance Asia Pasifik, Tharun Sawney berkata tidak seperti pengeluar cetak rompak muzik dan wayang gambar, pengeluar perisian cetak rompak mempunyai situasi yang berbeza.

"Industri perisian berbeza daripada bentuk cetak rompak yang lain kerana sumbernya bukan daripada pihak pengilang sebaliknya membabitkan penggunaan oleh syarikat itu sendiri. Syarikat yang telah diserbu sebenarnya mendapat dan menggunakan salinan asli tetapi kemudiannya membuat salinan cetak rompak," katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji langkah dan komitmen penguatkuasaan yang dilakukan oleh kerajaan dalam melindungi hakhak Harta Intelektual kerana setakat ini 30 kes telah dikenakan tindakan oleh pihak kementerian, yang tertinggi berbanding negara-negara lain di Asia.

"Secara purata sesebuah negara di rantau Asia Pasifik, mencatatkan kadar cetak rompak dalam lingkungan 61 peratus sedangkan di Malaysia 59 peratus. Kadar bagi perisian cetak rompak pula tidak lagi menunjukkan kenaikan sejak empat ke lima tahun kebelakangan ini," katanya.

Katanya ini merupakan petunjuk yang menggalakkan di dalam industri dan langkah penguatkuasaan yang dilakukan pihak kementerian dan pendidikan telah memberikan kesan yang positif.

Tambahnya walaupun kadar cetak rompak semakin berkurangan namun kerugian pendapatan oleh pembangun perisian akan terus meningkat disebabkan oleh bilangan komputer yang menggunakan perisian tanpa lesen yang banyak di pasaran.

"Apabila cetak rompak kurang, pengguna akan membeli banyak komputer. Sebagai contoh kadar cetak rompak pada tahap 59 peratus, pengguna mungkin membeli dalam 100 buah komputer, tetapi jika kadar itu menurun 2 peratus, pengguna akan membeli 120 buah komputer menggunakan perisian tanpa lesen, ini menyumbang kepada kerugian pendapatan yang besar," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain