suria

BN ikar tingkat kerjasama untuk raih sokongan rakyat

PULAU PINANG: Barisan Nasional (BN) berikrar untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara parti komponennya di Pulau Pinang bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat di negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pemimpin BN di peringkat negeri itu bersetuju untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada bagi mengukuhkan kedudukannya di Pulau Pinang.

"Kita (BN) berjanji untuk terus memperbaiki kedudukan dan mengutamakan khidmat bakti untuk rakyat selaras dengan konsep rakyat didahulukan.

"InsyaAllah kita akan menampilkan kesungguhan dalam mendapatkan sokongan padu di kalangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin BN negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Pengerusi BN negeri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Datuk Zainal Abidin Osman dan pemimpin parti komponen lain.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata pemimpin BN Pulau Pinang juga bertekad akan menggerakkan segala program untuk rakyat secara bersungguhsungguh dengan berasaskan konsep dan semangat 1Malaysia.

Beliau berkata gagasan 1Malaysia itu mendapat sambutan menyeluruh di kalangan masyarakat berbilang kaum dan ia juga antara penyumbang kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

"Ini meyakinkan kita gagasan itu kini dapat diterima segenap lapisan rakyat terutama masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang," katanya.

Selain usaha BN negeri, program seumpama itu yang dirancang di peringkat kerajaan akan diteruskan.

"Perubahan dasar, program dan fokus baru (yang sedang dilaksanakan) dapat diterima dengan baik oleh rakyat.

"Kita percaya jika BN dapat bergerak dengan semangat baru maka kita akan berjaya dapat sokongan lebih baik di kalangan rakyat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain