suria

Guan Eng kecewa kelewatan projek jambatan kedua P.Pinang

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kecewa dengan kelewatan selama setahun untuk menyiapkan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Lim berkata kelewatan itu tidak selari dengan konsep "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan" yang didukung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga bertentangan dengan kepentingan penduduk Pulau Pinang. Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen DAP negeri di sini hari ini.

Menurut laporan, faktor seperti reka bentuk semula jambatan itu menyebabkan tempoh menyiapkan jambatan berharga RM4.3 bilion yang dijangka menjelang 2012, lewat selama setahun iaitu pada 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dipetik sebagai berkata tahap kemajuan jambatan itu sepatunya 20 peratus sekarang tetapi ia kini berada pada tujuh peratus sahaja.

Bagaimanapun, Lim berkata tindakan perlu dikenakan terhadap pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaan jambatan itu.

Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 26km itu akan menghubungkan Batu Maung di pulau dengan Batu Kawan di tanah besar.

Penyiapan projek itu dijangka melonjakkan ekonomi negeri dan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan.

Pembinaan projek itu dijalankan bersama oleh UEM Builders dan China Harbour Engineering. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain