suria

Muhyiddin minta jentera BN bekerja bersungguh-sungguh menjelang hari pengundian

PORT DICKSON: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya terus bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk meraih sokongan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang terutamanya dalam tempoh waktu kritikal sebelum menjelang hari pengundian esok.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam tempoh kritikal ini, pihak pembangkang akan menggunakan pelbagai strategi untuk mengelirukan rakyat.

"Dalam tempoh kritikal yang hampir lebih kurang 36 jam inilah waktu di mana pelbagai berita dan maklumat akan diputar belitkan telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak," katanya ketika berucap pada program Pentas Pemuda di sini malam semalam.

Jelasnya pembangkang akan menggunakan kesempatan ini untuk mengelirukan rakyat dengan menyebarkan berita yang menunjukkan kononnya BN telah hilang sokongan.

"Mereka akan kata ada ketua bilik gerakan yang nak tutup bilik gerakan mereka dan kata ada di kalangan jentera kita yang sudah tidak mahu bekerja kerana tidak dapat duit.

"Inilah cara yang mereka gunakan untuk menunjukkan sokongan terhadap BN merosot untuk mereka meraih kemenangan," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN yang diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad manakala PAS diwakili Pesuruhjaya negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Tegasnya Muhyiddin lagi, jentera parti perlu terus berusaha dengan pelbagai pendekatan untuk mendekati pengundi dan memastikan mereka terus memberi kepercayaan agar terus menyokong BN.

"Kita harus bekerja dengan bersungguh-sungguh hingga lewat malam, jangan kita beristirehat sehinga pukul 5 petang waktu di mana peti undi ditutup.

"sehingga itu barulah kita rasa berpuas hati kerana tugas dan tanggungjawab kita sudah selesai," katanya.

Tambah Muhyiddin, jentera BN khususnya dikalangan pemuda perlu bekerja bermati-matian untuk menebus maruah BN yang tewas dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini selepas Pilihan Raya Umum 2008.

"Sepatutnya lepas saudara mendengar ucapan saya ini, saudara akan terus memikul amanat dan tanggungjawab yang ada untuk bekerja bermati-matian.

"Kita harus pastikan supaya apabila 11 haribulan ini tiba, pengundi-pengundi yang menjadi raja di Bagan Pinang akan mengundi dan mereka tidak akan membuat pilihan yang lain selain Tan Sri Mohd Isa sebagai wakil BN di Bagan Pinang.

"Ini adalah satu tugas yang amat mencabar... saudara memikul tanggungjawab yang berat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain