suria

Hadiah Nobel untuk Keamanan: Setiausaha Akhbar gerak Obama jam 6 pagi untuk maklum berita gembira

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel untuk keamanan telah dikejutkan dari tidur oleh Setiausaha Akhbarnya pada jam 6 pagi untuk dimaklumkan tentang berita gembira itu.

Setiausaha Akhbarnya, Robert Gibbs yang menelefon Obama kemudiannya memberitahu para pemberita bahawa bosnya itu kelihatan merendah diri sebaik sahaja dimaklumkan bahawa beliau telah diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel untuk keamanan di Oslo.

Kemenangan tersebut sudah pastinya memberikan imej positif kepada Obama yang baru sahaja mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika yang ke-44 sembilan bulan yang lalu.

Sepanjang kempennya Obama telah membawa harapan baru untuk mentransformasi imej Amerika di mata dunia sebagai rakan sekutu bukannya sebagai polis dunia.

Kemenangan ini juga memperlihatkan bagaimana Obama muncul dalam peta politik dunia sebagai seorang pemimpin yang berpengaruh hanya dalam tempoh empat tahun sejak menyertai politik secara serius.

Beliau juga mencatatkan sejarah sebagai presiden kulit hitam Amerika yang pertama. Jawatankuasa Hadiah Nobel melihat Obama, 48, sebagai seorang pemimpin yang benar-benar serius untuk membawa keamanan kepada dunia dengan pendekatan luar biasanya untuk duduk berbincang dengan negara-negara yang secara tradisinya dilihat sebagai musuh Amerika termasuklah Iran dan Korea Selatan.

Beliau juga telah berikrar untuk menamatkan penglibatan tentera Amerika di Iraq.

Artikel Sebelum

Artikel Lain