suria

Sokongan kepada BN: MIC sambut baik gesaan Najib

PUTRAJAYA: MIC, parti politik berasaskan kaum India terbesar di negara ini, menyambut baik gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya parti politik yang menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi beroperasi di luar gabungan itu, diterima sebagai penyokong BN.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan berkata BN sepatutnya bersifat merangkumi bukannya khusus, dan membenarkan parti politik yang memberi sokongan padu kepada gabungan itu supaya diterima memandangkan "sokongan mereka penting untuk BN terus berkuasa."

"Ini tidak seharusnya hanya terpakai kepada parti berasaskan kaum India sahaja malah kepada semua parti. Jika kita ada parti berasaskan kaum Melayu yang menyokong BN tetapi tidak berada dalam BN maka mereka juga mesti diterima dan ini juga terpakai kepada parti berasaskan kaum Cina.

"Langkah ini juga akan memastikan sokongan rakyat kepada BN akan berkembang dan akhirnya kita akan mempunyai BN yang bersifat merangkumi, yang mengalu-alukan sesiapa saja yang menyokongnya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Semalam, Najib ditanya mengenai penubuhan parti Makkal Sakthi baru-baru ini, yang mengisytiharkan sokongannya kepada BN sungguhpun parti itu bukan menganggotai gabungan berkenaan.

Najib, yang juga Pengerusi BN berkata beliau telah pun menjelaskan kepada pemimpin MIC bahawa sokongan masyarakat India kepada BN tidak terhad kepada parti dalam lingkungan BN sahaja dan terdapat parti di luar BN, misalnya Barisan Progresif India (IPF) yang menyokong gabungan itu.

"Beberapa parti ini turut berminat untuk menyokong BN jadi kenapa kita tidak mahu menerima mereka walaupun mereka bukan anggota BN. Tidak kiralah sama ada sokongan itu datang daripada sebuah parti dalam atau luar BN asalkan mereka menyokong BN.

"Kita ada parti seperti IPF dan sebuah parti baru (Parti Bersatu India Malaysia) yang ditubuhkan oleh Datuk K.S. Nallakaruppan yang menyokong BN. Makkal Sakthi adalah parti yang berminat menyokong BN. Jadi kenapa kita tidak dapat menerimanya sebagai penyokong BN sungguhpun ia bukan menganggotai BN," kata Najib, ketika melakukan lawatan rasmi empat hari ke Paris.

Perdana Menteri pulang ke tanah air awal hari ini.

Saravanan berkata sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, BN juga harus melaksanakan wawasan 1BN bagi menggalakkan kesepakatan dalam kalangan parti politik selagi mereka menyokong dan berdiri teguh di belakang gabungan pemerintah. BERNAMA

Artikel Lain