suria

Rumah YDP Majlis Daerah Besut dimasuki penyamun

BESUT: Lima lelaki dipercayai warga negara asing memecah masuk kediaman Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Wan Mustaffa Wan Hassan, di Kampung Alor Lintang di sini awal pagi tadi dan mengugut mencederakan isteri dan anak-anak beliau dengan pisau sebelum melarikan barang bernilai RM15,000.

Dalam kejadian pada 3.30 pagi itu, Wan Mustaffa tiada di rumah kerana mengikuti lawatan kerja bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Said ke Sepanyol.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata penyamun terbabit dipercayai memotong dawai pagar dan masuk ke dalam rumah melalui tingkap yang diumpil.

Anak Wan Mustaffa, Mohd Zulfadli, 27, ketika ditemui pemberita di rumahnya, berkata seorang daripada penyamun itu yang bersenjatakan pisau telah mengejutnya daripada tidur sebelum mengikat beliau dan adik beradiknya menggunakan dawai.

Menurutnya, penyamun berkenaan memasuki dan menggeledah bilik ibunya, Wan Dasimah Aini Harun, 52, sebelum menggeledah bilik-bilik lain.

"Kira-kira sejam kemudian mereka melarikan diri, membawa bersama sedikit wang tunai, barang kemas, dan telefon bimbit kami," kata Mohd Zulfadli.

Beliau berkata ibunya yang tidak diikat membantu melepaskan beliau dan adikadiknya sebelum beliau menghubungi pihak polis. BERNAMA

Artikel Lain