suria

Penyelasalan yang terlewat...

TEMERLOH: Tan Guo Rong menangis dan memohon maaf kepada keluarga bekas kekasihnya diatas kesalahannya membunuh gadis itu tetapi penyesalannya masih tidak dapat menyelamatkan dirinya daripada dihukum penjara selama 20 tahun.

Tidak cukup dengan itu, sebaik sahaja hukuman dijatuhkan dan Tan, 23, diiring keluar dari mahkamah, bapa mangsa telah menghamburkan kata-kata kesat dan menolak permohonan maafnya dan nenek wanita itu pula menghayunkan satu penumbuk ke arah Tan.

Sebelum itu, Tan kelihatan meraung di kandang tertuduh sambil mengalih pandangan ke arah keluarga bekas kekasihnya lalu berkata, “Saya minta maaf, tolong ampunkan kesalahan saya...”

Hakim Akhtar Tahir telah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas Tan bermula dari tarikh dia ditahan iaitu 9 Mei 2009.

Tan dituduh membunuh Chua Li Yian, 17, seorang pelajar tingkatan lima di antara jam 6.30 petang pada 1 Mei dan 3.05 pagi 9 Mei di Jalan Industri 2, berdekatan Pusat Hiburan U-One, Kawasan Perindustrian Mentakab.

Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, Tan tidak menunjukkan sebarang perasaan bersalah kerana dia mengambil masa lapan hari untuk kembali semula ke tempat di mana gadis itu dihumban selepas dibunuh.

"Sedangkan jika dia ada perasaan menyesal, dia akan kembali ke tempat tersebut pada keesokan harinya.

"Pengakuan bersalahnya hanya dapat menjimatkan masa mahkamah dan kos perbicaraan ini tetapi kesalahan yang dia lakukan adalah sesuatu yang sangat serius maka itu mahkamah tidak boleh menjatuhkan hukuman ringan.

"Masa depan gadis ini telah dimusnahkan oleh anda dan mangsa tidak lagi dapat dikembalikan untuk merealisasikan impian dan masa hadapannya,” tegas Akhtar.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Muhammad Najmi Daud memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas Tan kerana jenayah yang dia lakukan adalah sangat berat.

Kata Muhammad, keluarga mangsa telah melayan Tan seperti seorang anak angkat tetapi sebaliknya dia menjadi punca kematian Chua.

Berdasarkan fakta kes, Tan telah terserempak Chua keluar bersama teman lelaki barunya pada 1 Mei dan kemudian telah bersemuka dengan Chua.

Pertemuan itu telah mencetuskan pertengkaran dan Chua telah dipukul di kepala dan leher sehingga pengsan.

Apabila Tan menyedari bahawa Chua sudah tidak lagi bernyawa, dia telah mengangkat Chua dan mencampakkannya ke dalam kawasan semak berdekatan Kampung Lubuk Paku, Maran.

Lapan hari kemudian Tan kembali ke tempat tersebut dan mengambil semula mayat Chua dan membuang Chua ke dalam longkang dekat Pusat Hiburan U-One, Mentakab.

Tan ditahan pada 9 Mei jam 6 petang.

Ketika di dalam siasatan, Tan telah membuat pengakuan yang dia telah membunuh Chua .

Ketika mitigasi, peguam pembela, Francis Tan berhujah, anak guamnya berada dalam keadaan yang tertekan dan memandangkan Tan dengan sukarela mengaku bertanggungjawab ke atas kematian Chua, mahkamah wajar memberi pertimbangan meringankan hukumannya.

"Dia adalah seorang anak muda yang pertama kali melakukan kesalahan jenayah dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis di sepanjang penyiasatan kes ini," kata Francis.

Sementara itu, bapa mangsa, Chua Yunn Jiang, 43 berkata, dia merasa kecewa pembunuh anaknya hanya dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun.

Malah sebaik sahaja perbicaraan selesai, keluarga Tan dan Chua kelihatan menjerit ke arah satu sama lain.

Artikel Lain