suria

Pelajar Malaysia terpaksa sambung pengajian di Padang

KUALA LUMPUR: "Tiada pilihan lain, kami terpaksa pulang ke Padang kerana sudah membuat pelaburan yang tinggi" itulah katakata dari segelintir penuntut Malaysia yang terpaksa pulang ke Padang selewat-lewatnya 19 Oktober ini bagi meneruskan pengajian mereka dalam bidang Perubatan di Universiti Andalas, (Unand).

Menambah kemungkinan itu, melalui laporan Bernama pada Khamis (8 0ktober), Timbalan Dekan Unand, Prof Dr Eryati Darwin berkata 323 penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian di situ diminta melapor diri 15 Oktober atau selewat-lewatnya 19 Oktober ini.

Malah, apa yang menyebabkan keputusan para penuntut ini lebih memihak untuk pulang ke Padang, apabila Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet kementeriannya, berkata keputusan terakhir sama ada para penuntut ini mahu kembali ke Padang atau hanya menyambung pengajian di sini tertakluk kepada pilihan mereka sendiri.

Bagi penuntut tahun keempat bidang Perubatan di Unand, Suresh Rao Sandubaboo, 23, faktor 'terikat' dengan biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyebabkan beliau terpaksa memperjudikan nyawa di Padang.

Katanya, bukan tidak mahu menyambung sahaja pengajian di sini, namun pilihan itu memerlukannya melalui prosedur yang terlalu rumit.

"Kalau nak sambung sahaja pelajaran di sini, saya dah banyak menghabiskan duit keluarga dan biasiswa semasa menuntut di Padang, lebih-lebih lagi proses untuk masuk ke kolej baru di sini amat rumit, termasuklah terpaksa membayar yuran baru," katanya sayu ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

"Saya kini berada di semester empat di Unand, jika hendak sambung belajar di sini, kebiasaannya sukar untuk melalui proses pemindahan kredit. Sayang, sebab mana ada kolej di Malaysia yang mahu sambung semester lima terus," katanya.

Ketika ditanya tentang persiapan untuk kembali ke sana, Suresh kini lebih mementingkan persediaan mental dari fizikal.

"Setakat ini trauma itu dah kurang, cuma keluarga sahajalah yang risau, walaupun rasa takut itu ada kerana baru-baru ini ada laporan yang mengatakan akan ada gempa susulan di Padang, namun kita terpaksalah, semangat kena kuat," katanya.

Tambahnya, walaupun beberapa peralatan penting telah rosak semasa di sana, namun beliau telahpun membuat permohonan ganti rugi kepada kerajaan untuk membeli semula barangan itu.

"Telefon bimbit rosak, komputer riba sudah kena hempap dinding, almari rosak jadi saya harap kerajaan akan dapat memberi sedikit imbuhanlah," katanya.

Suresh berkata, kemungkinan besar dia akan pulang ke Padang pada 19 Oktober dengan pembiayaan sendiri.

Bagi penuntut Milfasari Muzamil, 19, beliau yang sudah membeli tiket penerbangan ke Padang 18 Oktober ini, hanya menyerahkan nasibnya kepada Allah, memandangkan keluarga sudah mengeluarkan duit lebih daripada RM80,000 bagi menanggung pelajarannya di Unand.

"Tawakal sahajalah, benda macam itu bilabila berlaku, fakulti sudah hendak mula, kalau tunda lagi susah, duit sudah banyak habis, kita teruskan sahajalah," katanya.

Milfasari berkata, sebagai persediaan, dia membawa banyak bekalan makanan bagi persediaan jika tiada kedai yang masih belum dibuka di sana.

"Kawan-kawan cakap elektrik, air, kedai semua tidak ada lagi, jadi persediaan mental kena kuat, kena hadapi tidur dalam suasana yang gelap dan makan makanan segera sahaja," katanya.

Jelas Milfasari, dia bersyukur kerana tiada barangan penting yang rosak dan rumahnya juga berada dalam keadaan baik.

Bagi Shangeetha Krishnan, 18, beliau sememangnya sudah bersedia untuk pulang ke Padang dengan penerbangan pada 19 Oktober ini atas sebab utama yang sama seperti rakan-rakan yang lain.

Pembiayaan yuran sendiri tanpa biasiswa atau pinjaman pelajaran dari mana-mana institusi kerajaan menjadi faktor utama Shangeetha memberanikan diri menjejakkan kaki di sana.

"Setakat sebulan lebih saya di sana, keluarga sudah berhabis lebih daripada RM30,000, lagipun saya sudah membeli banyak peralatan rumah di sana seperti almari, perabot, jadi sayang mahu tinggalkan, lagipun pendidikan di sana bagus," katanya yang menetap di Jalan Perak, Padang.

Namun apa yang merisaukan gadis remaja ini ialah apabila bekalan air dan elektrik masih tidak disambung.

"Dari segi persiapan fizikal saya sudah siapkan, macam bekalan makanan yang banyak, cuma saya takut tak ada elektrik dan air, risau macam mana hendak mandi, saya harap dapat kuatkan semangat dan berdoa sahajalah," katanya mengakhiri perbualan. Namun berlainan pula bagi penuntut Marwiza Abd Ghani, 23, yang menyambung pengajian di sana atas pinjaman daripada pihak Mara.

Buat masa ini, jelas Marwiza, beliau hanya menunggu keputusan Mara sama ada mahu membenarkan dirinya serta rakanrakan lain yang juga di bawah pinjaman Mara, menyambung pengajian di sana ataupun hanya di Malaysia.

"Masa saya hubungi Mara semalam, mereka kata suruh tunggu dulu sebab Mara belum membuat keputusan tentang itu, ia bergantung kepada pihak Maralah," katanya yang dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya, jika tiada halangan dari pihak Mara, dia mahu menyambung sahaja pengajian di sana berikutan tinggal hanya satu semster sahaja lagi yang tinggal sebelum dia menamatkan pengajian dalam bidang Perubatan.

"Saya tidak mahu membuang masa, jika hendak menyambung di sini saya harus melalui proses pembelajaran dari A semula kerana sukar untuk memindahkan kredit," katanya.

Sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan di Padang, termasuklah tidur dalam kegelapan, apa yang diharapkan Marwiza kini agar Mara dapat membuat keputusan segera berkenaan dengan nasibnya dan rakanrakan lain.

Marwiza mendapat pinjaman dari pihak Mara sebanyak RM300,000.

Penuntut-penuntut Malaysia di Padang dibawa pulang ke tanah air pada 2 Oktober lepas berikutan berlakunya tragedi gempa bumi yang melibatkan wilayah Sumatera Barat, 30 September lalu. BERNAMA

Artikel Lain