suria

Najib mahu MCA yang kukuh dan stabil selepas EGM esok

PUTRAJAYA: Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak mahu MCA muncul lebih kukuh dan stabil selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu esok.

Beliau mengulangi bahawa MCA yang kukuh dan stabil diperlukan untuk meraih dan menyampaikan sokongan masyarakat Cina kepada gabungan berkenaan.

Esok, parti berasaskan kaum Cina yang kini mencecah usia 60 tahun, akan mengadakan EGM dengan membentangkan lima resolusi, termasuk usul tidak percaya terhadap Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat, dan untuk mengembalikan semula jawatan Timbalan Presiden yang kini digantung, kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Najib bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan pemberian kontrak RM3.5 bilion kepada Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd oleh sebuah syarikat dari Amerika Syarikat, Goodrich Corporation, bagi menyediakan komponen nacelle meliputi pelbagai program pesawat komersial.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai kemungkinan Kementerian Pertahanan memperoleh kapal tentera laut yang baru berikutan kebakaran kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Seri Inderapura semalam.

Najib berkata beliau menyerahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk mengemukakan permohonan kepada Kabinet yang kemudiannya akan memutuskan tindakan seterusnya.

Kapal pendarat terbesar TLDM itu terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM di Lumut, Perak, dipercayai akibat litar pintas. BERNAMA

Artikel Lain