suria

Kerajaan BN iktiraf sumbangan kaum Cina majukan negara

PORT DICKSON: Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengiktiraf sumbangan kaum Cina dalam kemajuan negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pengiktirafan ini kerana komuniti Cina menguasai sebahagian besar kemajuan ekonomi negara.

"Kalau ikut dari segi nilai, 47 peratus daripada kekayaan negara dikuasai oleh orang Cina, orang Melayu 18 peratus manakala orang India lebih kurang satu peratus," katanya pada Pesta Tanglung 2009 di Dataran Kemang, Telok Kemang di sini, malam semalam.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Muhyiddin berkata dalam perkara ini orang Melayu tidak rasa iri hati.

"Sebab itu saya kata kepada mereka (orang Melayu) kalau mereka mahu berjaya mereka kena kerja kuat. Kita tidak boleh iri hati kalau orang Cina, orang India, orang Melayu berjaya kerana di Malaysia dasar kerajaan siapa kerja kuat dia dapat," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan tidak pernah sekat kemajuan yang dicapai rakyat negara ini.

Katanya di Malaysia ini siapa yang bekerja kuat untuk menguasai apa juga bidang, kerajaan tidak sekat.

"Cuma kerajaan nak tolong bantu, kalau ada orang tak maju kita tolong bantu. Kita tolong Melayu sebab kita tolong bantu mereka jadi maju macam masyarakat orang lain. Kita mahu supaya semua rakyat boleh sumbang kepada pembangunan negara kita," katanya.

Mengenai pesta tanglung itu, beliau berkata adat resam dan budaya semua kaum di negara ini sehingga kini masih hidup segar dan ini adalah kerana dasar kerajaan BN.

"Pesta tanglung ini sudah menjadi satu warisan rakyat Malaysia dan ia diraikan bukan saja orang Cina tapi semua kaum. Kita sudah merdeka 52 tahun dan kerajaan BN amat menghormati asas tradisi adat budaya yang diamalkan oleh semua kaum dalam negara kita.

"Oleh sebab itu, pesta tanglung semakin hari semakin sudah jadi satu budaya yang masih hidup lagi pada hari ini. Mungkin orang kita di sini ambil (adat resam dan budaya) ini sebagai satu perkara biasa, namun ia adalah satu petanda bahawa dasar kerajaan BN pada hari ini memang menggalakkan supaya adat resam dan budaya yang pelbagai dalam negara kita dijadikan sebagai warisan rakyat Malaysia.

"Ini penting bagi kita nak tunjukkan bahawa kita sudah sampai ke satu peringkat di mana rakyat tidak kira orang Melayu, Cina dan India saling menghormati antara satu sama lain," kata Muhyiddin.

Katanya ini hanya boleh berlaku kalau kerajaan yang ada pada hari ini tidak merupakan kerajaan yang menekan rakyat, tidak merupakan kerajaan yang mahu menimbulkan kesusahan kepada rakyat, tidak merupakan kerajaan yang tidak mahu mengambilkira kepentingan rakyat.

"Sebab itu hari ini semua bangsa, agama, keturunan dalam negara kita sudah menjadi satu keluarga yang besar. Ini keistimewaan dasar kita yang kita sebutkan dasar untuk menyatupadukan kaum dalam negara kita. Di negara lain tiada dasar ini dan sebab ada dasar itu sampai hari ini sudah 52 tahun kita merdeka kita boleh kekalkan negara kita di mana semua rakyat boleh hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

"Jadi kita mesti bersyukur kerana negara kita masih tetap aman. Sebab itu sudah 52 tahun kita merdeka negara kita terus mencapai kemajuan yang membanggakan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain