suria

Beberapa pemimpin PKR Teluk Kemang umum sertai Umno

PORT DICKSON: Kurang 48 jam sebelum hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN Bagan Pinang, Barisan Nasional (BN) terus mendapat sokongan apabila Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Teluk Kemang, Norman Sulaiman hari ini bertindak keluar parti bersama 80 ahli PKR dan menyertai Umno.

Borang keahlian mereka diserahkan kepada Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad sambil disaksikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada majlis 'Pulang ke Pangkal Jalan Demi 1Malaysia' di Dewan Orang Ramai Kampung Bagan Pinang di sini hari ini.

Mohd Isa adalah calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Turut bersama kumpulan itu ialah 45 lagi penyokong pembangkang yang terdiri daripada kaum Cina dan India menyatakan pendirian menyokong BN.

Bagi Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cawangan Port Dickson, Muhammaddin Abu Bakar, keputusan beliau dan rakan-rakannya keluar daripada PKR kerana kecewa dengan sikap pemimpin parti itu yang terlalu mementingkan pangkat tanpa menghiraukan ahli peringkat bawahan.

"Saya kecewa dengan sikap pemimpin dalam parti kerana mereka hanya pentingkan pangkat dan mengejar populariti tanpa memikirkan nasib kami penyokong di peringkat bawah," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Selain beliau, Shahruddin Abdul Hamid, yang gagal dalam cubaannya menjadi calon bebas pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang turut menyatakan pendirian untuk membantu Mohd Isa pada pilihan raya kecil itu yang akan berlangsung Ahad ini.

Beliau menyifatkan Mohd Isa sebagai pemimpin sejati serta berpengaruh dan diterima oleh rakyat di Bagan Pinang.

Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004.

Artikel Lain