suria

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah rasuah pegawai kerajaan

KUANTAN: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memberi rasuah kepada tiga pegawai kerajaan pada 2007 dan tahun lepas.

Di Mahkamah Sesyen 3, Tengku Faiz Tengku Osman, 35, dari Taman Pertama di sini, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memberi suapan wang tunai RM5,000 kepada Penolong Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Pahang, Md Kamal Fauzi Ahmad, di Hotel Vistana di sini pada 6.20 petang 2 Feb tahun lepas sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh berhubung kerja perlombongan tanpa lesen.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula dan membenarkan Tengku Faiz diikat jamin sebanyak RM3,000.

Di Mahkamah Sesyen 4 pula, Tan Ah Khee, 46, dari Pandan Damai di sini, berhadapan tuduhan memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada Penolong Pegawai Tadbir, Lembaga Minyak Sawit Malaysia Wilayah Selatan Johor Bahru, Zabidi Abdollah, di Restoran Masakan Panas Tom Yam Seafood, Jalan Lapangan Terbang di sini pada 8.15 malam 22 Oktober tahun lepas.

Pemberian itu adalah sebagai dorongan kepada Zabidi untuk tidak mengambil tindakan terhadap Tan kerana membeli dan menyimpan minyak sawit mentah tanpa lesen yang sah.

Hakim Habibah Mohamed juga menetapkan 19 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan mengenakan ikat jamin RM3,000.

Di Mahkamah Sesyen 5, seorang pegawai pengendali syarikat, Abdul Halim Mat Isa, 50, dari Taman Seri Tasek, Ipoh, Perak, didakwa memberi suapan wang tunai RM400 kepada Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Pahang Kamaruddan Abdullah, di kawasan Balai Polis Paloh Hinai, Pekan, pada 11.15 malam 1 Nov 2007 sebagai dorongan kepada Kamaruddan untuk melepaskan dua buah lori di bawah seliaan tertuduh yang membawa muatan bijih besi tanpa dokumen sah.

Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan 25 hingga 29 Jan tahun depan untuk perbicaraan kes itu.

Pendakwaan bagi ketigatiga kes itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Fadzillah Mohd Ossman. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain