suria

Punca kebakaran sekolah diketahui selepas laporan penuh

KUALA LUMPUR: Punca sebenar kejadian kebakaran dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya 2, Johor Bahru, awal pagi semalam, akan hanya diketahui selepas laporan lengkap mengenai kejadian itu siap, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau belum mendapat laporan penuh mengenai kejadian tersebut.

"Apa sebab perkara itu berlaku...sama ada kerana litar pintas kah yang tidak dapat dijangka...(atau) apakah ini disebabkan oleh kecuaian atau perkara-perkara lain (kita tunggu laporan penuh)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kejadian tersebut yang menyebabkan sebahagian kecil dewan berkenaan dan beberapa kerusi dan meja rosak.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi 2009 (PECIPTA 2009) di sini hari ini.

Ketika ditanya berhubung laporan sebuah akhbar tempatan bahawa kebakaran itu dipercayai akibat perbuatan khianat seorang pelajar, Muhyiddin berkata itu semua perlu disiasat.

"Sebab-sebab yang menyebabkan perkara itu berlaku...perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab...sama ada pelajar ataupun orang lain. Saya tidak akan buat kenyataan (lanjut mengenai punca sebenar) sebelum dapat laporan penuh," katanya.

Namun, Muhyiddin berkata ia adalah sesuatu yang bernasib baik kerana kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan dan tidak mengganggu perjalanan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diduduki pelajar sekolah itu.

Mengenai mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden parti berkata ia membincangkan persiapan Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan dari 13 hingga 16 Okt.

Menurutnya mereka juga mendapat laporan dari Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai persiapan terakhir perhimpunan itu yang akan dihadiri lebih 2,500 perwakilan.

Muhyiddin juga berkata Perhimpunan Agung Khas Umno pada 15 Okt ini hanya akan ada dua usul sahaja iaitu usul ucapan dasar presiden dan usul pindaan perlembagaan.

Katanya ini kerana perhimpunan itu singkat, diadakan kurang dari sehari. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain