suria

Polis rampas pistol buatan sendiri dan tahan pemilik

LANGKAWI: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol buatan sendiri bersama 35 butir peluru dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kuah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Ishak Hassan berkata senjata api yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran itu boleh digunakan untuk membunuh dalam jarak kira-kira 9 meter.

Beliau berkata bertindak atas maklumat awam sepasukan polis menyerbu rumah yang didiami oleh lelaki berumur 30-an itu pada kira-kira 10.45 pagi dan selepas diperiksa polis menemui pistol buatan sendiri yang disimpan dalam rumah itu.

Katanya beberapa senjata lain seperti kerambit dan 'Buku Lima' turut ditemui dalam rumah itu, dan ada antaranya yang disembunyikan dalam mesin pengisar di dapur rumah.

"Lelaki itu tinggal berseorangan dalam rumah itu dan polis sedang menyiasat motif pemilikan senjatan berkenaan," katanya pada satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Polis Langkawi di sini semalam.

Ishak berkata lelaki akan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8 (9) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Hakisan dan Letupan serta Senjata api Berbahaya 1958.

Bagi semua kesalahan di bawah seksyen itu, ia boleh membawa hukuman penjara dan rotan jika disabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain