suria

Petugas JHEOA ditemui mati dalam bilik hotel

GUA MUSANG: Seorang petugas lelaki Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) ditemui mati dalam bilik penginapannya di sebuah hotel di sini tengah hari ini.

Mayat Tan Boon Liang, 49, ditemui mati oleh salah seorang pekerja hotel itu yang membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua pada kira-kira pukul 1 tengah hari selepas merasa curiga apabila panggilannya tidak berjawab.

Pengarah JHEOA Kelantan dan Terengganu Abdul Razak Arshad yang sedang bermesyuarat di Kuala Betis ketika dihubungi berkata Tan dijadualkan menghadiri mesyuarat pada sebelah pagi.

"Mulanya kami sangka dia masuk dalam (kawasan perkampungan Orang Asli) sebab dia tak datang mesyuarat pada sebelah pagi. Dia datang ke sini pun sebenarnya untuk hantar input pertanian seperti racun ke kawasan pedalaman tapi tidak sangka dia ditemui mati dengan tiba-tiba," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang pekerja hotel itu berkata beliau memeriksa bilik Tan selepas petugas JHEOA yang dijadual mendaftar keluar pada pukul 12 tengah hari itu tidak berbuat demikian.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, DSP Aziz Hassan ketika dihubungi berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, dan polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.

Menurutnya mayat Tan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain