suria

Pembangkang tergamak kutuk 1Malaysia walaupun PM berniat baik

PORT DICKSON: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ada pihak yang tergamak meberikan tohmahan kepada niat baik kerajaan dan pemimpinnya Datuk Seri Najib Tun Razak apabila konsep 1Malaysia diperkenalkan.

Beliau berkata pihak ini menganggap 1Malaysia hanya satu retorik sedangkan ia mengandungi falsafah untuk melihat rakyat saling bantu membantu dan memupuk semangat ukhuwah.

"Rakyat samada majoriti atau minori, itu tidak penting kerana mereka bernaung di bawah 1Malaysia. Sesiapa sahaja ada hak dalam perlembagaan, sebab itu dasar BN adalah dasar yang adil yang memberi pertimbangan kepada semua orang tanpa mengira latar belakang agama dan budaya," katanya semasa berucap di majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri dengan masyarakat India Muslim di sini hari ini.

Katanya, sokongan masyarakat India Muslim negara ini sangat dihargai kerajaan walaupun pertubuhan mereka iaitu Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), bukan anggota BN.

Pembangkang melalui kempen telah membuat pelbagai kenyataan yang mempersoalkan dasar kerajaan Malaysia yang kononnya mereka telah berjaya mendedahkan kelemahan kerajaan, katanya.

Muhyiddin berkata pembangkang juga cuba menimbulkan kebencian kepada kerajaan sedangkan rakyat sepatutnya tahu selepas 52 tahun merdeka, ia dipenuhi dengan usahausaha kerajaan untuk memajukan masyarakat sehingga berjaya meletakkan negara ke tahap yang membanggakan.

"Kita berharap rakyat tidak akan terpengaruh dengan dakyah pembangkang...sekarang timbul macam fitnah, terhadap saya dan Perdana Menteri, timbulkan kebencian rakyat pada kita, konon rakyat tidak akan sokong kita tapi dalam situasi genting sekarang ini, rakyat harus sedar yang boleh perjuangkan nasib mereka adalah BN," katanya.

Dalam Pakatan Rakyat pula, baru beberapa bulan dapat kuasa, rakyat telah melihat mereka ini tidak berpakat kerana tidak ada satu pun dasar yang boleh diterima bersama oleh PAS, DAP dan PKR, katanya.

"Ini semua bukti tidak ada keserasian antara mereka," tegas beliau.

Katanya, sebagai pemimpin, beliau bimbang nasib rakyat akan menjadi tidak terbela di bawah pimpinan mereka kerana jelas dasarnya tidak membantu memajukan masyarakat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain