suria

Pembangkang letak semua kesalahan atas bahu kerajaan, kata Muhyiddin

PORT DICKSON: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata pembangkang telah memutarbelitkan banyak fakta untuk mengelirukan rakyat dan pada masa yang sama meletakkan semua kesalahan di bahu kerajaan Barisan Nasional (BN).

Misalnya, katanya, kes kepala lembu dan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam berlaku di negeri pemerintahan Pakatan Rakyat tetapi dua insiden itu dikaitkan dengan BN.

"Ini disebut sebagai perkara sensitif, ini bukan perbuatan kerajaan BN, ini pihak lawan di Selangor, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dia putar-putar kena dengan kita, Selangor negeri dia," katanya semasa berucap di majlis Aidilfitri Taman Politeknik di sini malam, semalam.

Muhyiddin berkata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid yang patut bertanggungjawab atas dua insiden di Shah Alam itu dan tidak ada sebab pembangkang menuduh kerajaan BN yang mahu mewujudkan dasar integrasi nasional.

Oleh kerana bimbang keadaan menjadi buruk sehingga berlaku pergaduhan kaum, maka kerajaan BN campur tangan dan mengambil tindakan, katanya.

Kempen pembangkang penuh dengan fitnah dan tohmahan malah mereka kata, BN zalim macam Firaun dan kalau kerajaan ini zalim, orang ramai tidak akan bersama dengan pemimpin mereka seperti di majlis ini, katanya.

Katanya pemimpin pembangkang telah menuduh kerajaan menyebabkan kematian setiausaha politik Teoh Beng Hock selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Pembangkang tidak sedar kerajaan yang zalim akan membiarkan sahaja perkara itu dan sebaliknya kerajaan BN telah mengadakan inkues untuk mencari punca kematiannya," katanya.

Selain itu, katanya kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didakwa terbabit dalam penyelewengan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain