suria

Pasukan petugas khas pastikan PKFZ lebih berdaya saing - Sidek

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi memastikan Projek Pembanguan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) lebih berdaya maju, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Katanya pasukan ini yang dipengerusikannya sendiri, akan mengenal pasti dan memperakukan kelemahan tadbir urus dan pengurusan pelaksanaan projek PKFZ serta langkah penambahbaikan yang perlu.

Ini termasuk mengambil tindakan disiplin atau undangundang terhadap individu yang terlibat dalam salah laku atau perbuatan jenayah, katanya.

"Pasukan Petugas Khas itu juga akan mengenal pasti dan memperakukan langkah-langkah serta insentif bagi menjadikan PKFZ lebih berdaya maju, katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Badan itu juga akan menilai kedudukan kewangan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan PKFZ serta menyediakan pelan penstrukturan semua PKFZ dan merangka dan mengesyorkan model peniagaan bagi mengembang, memaju dan memaksiumkan pulangan kepada LPK dan PKFZ.

Sidek berkata dari semasa ke semasa dan mengikut keperluan, pasukan ini akan memanggil pihak yang berkaitan untuk turut serta dalam mesyuarat bagi memberi penjelasan dan pandangan.

Anggota pasukan petugas itu terdiri daripada Tan Sri Ismail Adam (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), Tan Sri Abdul Gani Patail (Peguan Negara), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan), Tan Sri Ambrin Buang (Ketua Audit Negara), Kee Lian Yong (Pengurus Besar LPK) dan Tan Sri Dr Lin See Yang (Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Lin Associates Sdn Bhd).

Turut dilantik ialah Vinayak P.Pradhan (Tetuan Skrine and Co), Chin Kwai Fat (pengarah urusan, PriceWaterHouseCoopers Advisory Services), Abdul Rahim Abdul Hamid (Presiden Malaysian Institute Accounts (MIA) dan Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas (Presiden, Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia).

Anggota lain ialah Datuk Zakaria Bahari (Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan) selaku setiausaha badan itu dan dibantu oleh Datuk Long See Wooi, Timbalan Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pengangkutan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain