suria

MB Negeri Sembilan timbang saman pembangkang

PORT DICKSON: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau sedang mengkaji kemungkinan menyaman pembangkang yang didakwa melemparkan pelbagai tomahan dan fitnah terhadap beliau dan kerajaan Negeri Sembilan.

Sambil menyifatkan tohmahan pembangkang itu sebagai amat melampau, beliau berkata semua dakwaan yang dilemparkan oleh pembangkang merupakan fitnah yang cuba hendak memburukkan dan menjejaskan imej beliau dan kerajaan negeri.

"Kita dah muak dengan tohmahan mereka...dia orang pakai cakap saja. Kita akan lihat dan kaji, kalau ada kemungkinan yang kita boleh saman, saya akan mengambil tindakan saman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolam air Teluk Kemang di sini hari ini.

Mengenai dakwaan pembangkang kononnya Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANs) telah diswastakan, Mohamad menjelaskan bahawa jabatan itu bukannya diswastakan tetapi diperbadankan dengan nama Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINs).

"Pembangkang melemparkan tuduhan bahawa JBANS diswastakan dan syarikat swasta yang diberikan merupakan kroni saya. Saya kata ini merupakan satu fitnah yang melampau dan tuduhan yang tidak berasas.

"SAINS ini hanya namanya syarikat...jangan salah faham. Ia dikorporatkan tetapi kita panggil Syarikat Air Negeri Sembilan. SAINS punya saham berbayar RM600,000 dan ia kepunyaan Menteri Besar Incorporated (MBI), dan MBI ini adalah kerajaan Negeri Sembilan.

"SAINS bukan merupakan syarikat swasta. Saham SAINS tidak dipegang oleh orang perseorangan. Saya pun tak ada, siapa pun tak ada, 100 peratus dipegang oleh MBI dan MBI adalah kerajaan Negeri Sembilan. Kita memperbadankan JBANS pada awal tahun ini supaya kita boleh beroperasi dengan lebih baik lagi," katanya.

Mengenai tuduhan pembangkang bahawa tarif air dinaikkan sejak SAINS mengambil alih JBANS, beliau berkata: "Kita tak ada naikkan tarif air dan caj bulanan. Tak ada. Yang bertambah bil bulanan pada bulan Julai lepas adalah caj minimum.

"Kalau RM5 caj minimum sebulan dah jadi RM10, dan kalau RM15 perniagaan, jadi RM30. Kilangkilang lebih lagi. Ini yang dipersoalkan oleh mereka (pembangkang) hingga nak buat usul tergempar kononnya prihatin kepada rakyat.

"SAINS dah terangkan ini disebabkan oleh bayaran minimum dua bulan dijadikan satu bil dalam bulan Julai lepas. Sekarang dah selesai dah, tiada masalahpun," katanya.

Mohamad berkata apa yang penting ialah SAINS ditubuhkan bukan berasaskan kepada keuntungan manakala JBANS diperbadankan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Itu adalah motif nombor satu kita," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain