suria

Dadah: Dua sahabat terselamat daripada tali gantung

KUANTAN: Dua sahabat terselamat daripada tali gantung sekaligus memberikan peluang untuk menyambut Deepavali bersama keluarga apabila mereka dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan daripada tiga tuduhan memiliki dadah, lebih dua tahun lepas.

V. Sakthis Rama Perabu, 32, dari Kampung Jawa, Kuantan dan G. Mohan, 36, dari Segamat, Johor dituduh memiliki 468.13 gram kanabis, 0.12 gram metaphetamin dan 0.010 gram heroin di rumah nombor 20, Lorong Bukit Bay Route 20, Taman Bukit Bay Route di sini pada 27 Feb 2007 pada pukul 7.30 malam.

Kedua-dua tertuduh ditahan bersama seorang wanita berusia 23 tahun di rumah berkenaan bersama dadah-dadah yang disorokkan di dalam tin biskut dan di dalam sebuah beg.

Wanita berkenaan bagaimanapun dibebaskan selepas sembilan bulan perbicaraan dan pembelaan terhadapnya dilakukan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama dengan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya membebaskan mereka setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu.

Katanya pihak pendakwaan antara lain gagal membuktikan bahawa dadah berkenaan adalah milik tertuduh apabila gagal mengesan cap jari pada beg yang mengandungi dadah itu.

"Jarak masa tertuduh ditangkap dengan tertuduh juga tidak boleh membuktikan bahawa dadah itu adalah milik tertuduh," katanya.

Selain itu, katanya pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa terdapat kaitan di antara tertuduh dengan pemilikan rumah tertuduh ditahan.

Sebaik Mariana membacakan keputusan berkenaan, kedua-dua tertuduh berpelukan di antara satu sama lain dan turut disambut penuh kelegaan dan kegembiraan oleh anggota keluarga mereka yang berada di galeri awam.

Pendakwaan dijalankan oleh Nor Azizah Mohamad manakala Sakthis Rama diwakili peguam G. Subramaniam Nair dan Mohan diwakili peguam Bob Arumugam.

Seramai sembilan saksi dipanggil sepanjang perbicaraan berlangsung. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain