suria

Cubaan renggangkan hubungan Malaysia-Indonesia tak akan berjaya: Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sebarang usaha untuk merenggangkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia tidak akan berjaya kerana tali persahabatan kedua-dua negara adalah tebal.

"Selagi pucuk pimpinan Indonesia dan kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat tidak membuat pendirian negatif, maka selama itu Malaysia-Indonesia akan terus mempunyai hubungan intim," katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas ancaman satu kumpulan pelampau Indonesia dikenali Bendera untuk menyerang Malaysia.

Rais berkata semua pihak berperanan membetulkan persepsi negatif mana-mana golongan yang cuba mengeruhkan keadaan.

Katanya beliau akan ke Padang, Indonesia, pada Ahad ini untuk lawatan sehari bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meninjau keadaan mangsa gempa bumi di sana, dan akan menggunakan peluang itu bagi menjelaskan keadaan sebenar mengenai hubungan Malaysia dan Indonesia.

"Tidak ada untungnya bagi mereka berbuat demikian, lebih baik mereka melihat masa depan di mana dunia global amat memerlukan hubungan akrab antara Malaysia dengan Indonesia dari konteks kemanusiaan, gabungan politik, budaya, sosial dan juga perdagangan," katanya.

Terdahulu, Rais menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran Pos Malaysia Berhad di sebuah hotel di sini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain