PARIS: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung cadangan untuk menjual Plus Expressways Bhd dan konsesi tol yang lain di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu.Najib berkata beliau masih belum melihat cadangan berhubung konsesi tol itu. "Saya belum melihat sendiri cadangan itu. Kami belum membuat sebarang keputusan rasmi," katanya pada sidang media pada hari terakhir lawatan rasmi empat hari beliau ke Perancis pada Rabu.Sebuah entiti swasta, Asas Serba Sdn Bhd dilaporkan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kerja Raya pada Mei lepas untuk memperoleh kesemua 22 syarikat konsesi lebuh raya dengan harga RM50 bilion.Syarikat itu dikatakan disokong oleh empat ahli perniagaan termasuk bekas pegawai tertinggi Plus.Najib berkata beliau menunggu cadangan akhir daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) mengenai kajian struktur tol."Saya akan menangguhkan pengumuman sehinggalah kami membuat keputusan akhir," katanya.EPU diberikan tugas untuk mengadakan kajian mengenai konsesi lebuh raya yang melibatkan semakan semula kadar tol bagi meringankan beban pengguna. BERNAMA