Tiga ditahan selepas 2 jam samun rumah eksekutif audit - Semasa | mStar

Tiga ditahan selepas 2 jam samun rumah eksekutif audit

KUANTAN: Seorang wanita dan dua lelaki ditahan selepas dua jam memecah masuk rumah persinggahan seorang eksekutif audit di perumahan Taman Bahagia Jalan CherohRaub dekat Raub, semalam.

Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata polis menerima panggilan daripada jiran mangsa kirakira pukul 3.25 petang memaklumkan tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira telah memecah masuk rumah mangsa.

Beliau berkata suspek wanita berusia 22 tahun manakala suspek lelaki berusia 30 dan 36 tahun terbabit telah menggeledah rumah mangsa dan mengambil cenderamata, wang syiling, wang kertas lama, wang kertas luar negara, barangan kristal dan sekotak minuman keras yang kesemuanya bernilai kirakira RM5,000.

"Polis yang bertindak atas maklumat jiran tersebut kemudian membuat rondaan dan menjumpai kereta yang dinaiki seorang suspek lelaki di Jalan Cheroh," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. Noor Asyikin berkata polis menemui semula kesemua barang yang dicuri suspek di dalam kereta berkenaan dan lelaki itu juga mengaku kesalahannya dan membawa polis ke rumahnya di Taman Bintang dekat Cheroh sebelum menahan dua lagi suspek.

Katanya kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau itu kemudian ditahan dan di bawa ke Balai Polis Raub untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain