suria

Samseng rebut kawasan dikenalpasti punca pengusaha restoran diculik

KUALA LUMPUR: Penculikan seorang pengusaha restoran di hadapan rumahnya di Cheras Ogos lepas berpunca daripada perebutan kawasan oleh kumpulan samseng dan tidak kena mengena dengan tindakan anggota polis seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin hari ini berkata hasil siasatan polis mendapati perebutan kawasan di kalangan kumpulan samseng sebagai punca penculikan itu.

"Kita telah kenalpasti (hasil siasatan) punca penculikan itu ekoran pergaduhan (gangsterisme) perebutan tempat seperti tempat mencuci kereta di Bangsar dan Sri Hartamas," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata sehingga kini tiada wang tebusan dituntut oleh penculik daripada keluarga pengusaha restoran itu.

Ogos lepas, seorang suri rumah mendakwa bahawa suaminya yang berumur 40 tahun telah dilarikan oleh empat lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan menggunakan kekerasan dengan memukul suaminya sebelum menahan, menggarinya dan melarikannya dengan menaiki sebuah kereta.

Suri rumah itu mendakwa bahawa kejadian itu berlaku di hadapan beliau dan empat orang anaknya berhampiran rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras pada pukul 6.30 petang 28 Ogos lepas.

Mohd Bakri berkata sehingga kini 11 orang yang dipercayai boleh membantu siasatan telah ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Selain itu, katanya, polis sedang mengesan empat lelaki iaiatu K.Vasudevan, 39, A.Hardeep, 22, M.Sujendran, 25 dan S.Murali,23, bagi membantu siasatan.

"Mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan orang ramai yang mempunyai maklumat diharap dapat menghubungi manamana balai polis berhampiran," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain