suria

"Rasul Melayu" janji betulkan akidah pengikut

SHAH ALAM: Ketua ajaran sesat "Rasul Melayu", Abdul Kahar Ahmad, hari ini membuat akujanji kepada Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa dia akan membetulkan akidah semua pengikutnya apabila selesai menjalani hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya kelak.

Abdul Kahar, 59, juga memberitahu mahkamah bahawa dia telah bertaubat nasuha dan berjanji akan menghabiskan sisa umurnya untuk menjadi seorang Islam yang soleh berpandukan kepada Al-Quran dan sunnah.

"Saya juga memohon maaf kepada Yang diPertuan Agong dan Rajaraja Melayu khususnya Sultan Selangor atas keterlanjuran dan pendapat yang batil yang saya lakukan serta menghina agama Islam yang maha suci. Saya juga memohon maaf kepada Majlis Agama Islam Selangor dan pihak Jabatan Mufti serta Majlis Fatwa," katanya.

Pengakuan secara bertulis yang ditandatangani Abdul Kahar itu dibacakan oleh peguam syarie Azmi Rais semasa mengemukakan rayuan tambahan agar dia dikenakan hukuman yang ringan.

Pada 24 Sept lepas, Abdul Kahar, yang turut diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong, mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 termasuk mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam.

Azmi berkata mahkamah sewajarnya menghukum anak guamnya kerana kesalahan yang utama sahaja iaitu mengaku diri sebagai Rasul orang Melayu dan tidak mengambil kira empat pertuduhan lain.

Mengenai cadangan agar Abdul Kahar diletakkan di suatu tempat sesuai untuk memulihkan akidahnya daripada dikenakan hukuman penjara atau sebat, Azmi berkata cadangan alternatif adalah agar anak guamnya ditempatkan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu, Selangor, untuk tempoh tidak melebihi enam bulan.

"Jika mahkamah mengenakan hukuman penjara atau sebat untuk tujuan pembalasan, adakah ia suatu jaminan bahawa tertuduh akan tidak mengulangi kesalahan itu dan memulihkannya daripada kepercayaan sesat dan karut itu? Bagaimana pula dengan pengikut-pengikutnya di luar sana yang masih percaya dengan ajaran tertuduh?" kata Azmi.

Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abdul Hamid, yang mengetuai barisan pendakwaan dalam hujahan balasnya pula berkata, prinsip hukum syarak jelas menunjukkan bahawa tiada kompromi dalam melaksanakan tuntutan hukum syarak lebih-lebih lagi apabila suatu kesalahan itu melibatkan perkara yang bersangkutan dengan pegangan akidah seorang muslim.

Beliau berkata sebatan syariah bukan satu bentuk hukuman yang bersifat mendera atau menzalimi pesalah tetapi ianya bagi memberi pengajaran kepada pesalah serta masyarakat umum supaya tidak mengulangi kesalahan yang serupa pada masa akan datang.

"Kami juga ingin tegaskan bahawa taubat dan keinsafan tertuduh tidak boleh mempengaruhi hakim daripada menjatuhkan hukuman yang setimpal dan sejauh mana tertuduh benar-benar ikhlas bertaubat serta insaf atas kesalahannya hanya dalam pengetahuan Allah, namun kami tidak melihat kesan taubat dan insaf yang seharusnya dapat dizahirkan melalui perwatakan tertuduh," katanya.

Abdul Shukor berkata kes itu mendapat liputan meluas media dan sekiranya mahkamah tidak mengambil langkah tegas dan hanya mengutamakan kepentingan tertuduh berbanding kepentingan awam dengan hukuman yang ringan, pastinya keputusan seumpama itu akan menimbulkan tanggapan tidak baik masyarakat.

Beliau berkata tindakan tertuduh melarikan diri dan mengelak dari ditangkap menyebabkan kes itu berlarutan sehingga hari ini dan pihak berkuasa terpaksa bertungkus lumus sehingga melebihi tiga tahun bagi mengesan serta menangkapnya untuk dibawa ke mahkamah.

"Tertuduh juga tidak mampu mengemukakan fakta yang jelas tentang jumlah pengikutnya yang telah terpesong dengan fahaman salah yang dibawa olehnya, malah kami percaya masih ramai lagi pengikut beliau yang belum bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam.

"Kesalahan tertuduh ini telah mengakibatkan berlakunya pecah belah dalam masyarakat Islam di negara ini dan adalah wajar dia dihukum dengan hukuman yang berat seperti sebatan dan pemenjaraan," kata Abdul Shukor, yang dibantu pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs) Muhamad Nazri Basrawi dan Zusyarafain Md.Yusof.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad kemudian menetapkan 21 Okt ini untuk mengenakan hukuman terhadap Abdul Kahar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain