suria

Polis: Letupan bom di Sungai Golok dipercayai angkara militan

SUNGAI GOLOK (SELATAN THAILAND): Kejadian letupan di pekan ini semalam sehingga mengorbankan dua nyawa dengan 12 lain cedera termasuk tiga daripadanya parah dipercayai dilakukan puak militan yang dikenali sebagai Ronda Kumpulan Kecil (RKK).

Jurucakap polis di sini berkata modus operandi serangan itu menyamai siri serangan yang lain sebelum ini dan pihak berkuasa negara itu sedang memburu beberapa suspek yang telah dikenal pasti.

"Mereka terdiri daripada RKK yang melakukan serangan ala gerila dan pihak kami sudah mengenal pasti kumpulan itu dan kini berusaha untuk memburu mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam serangan itu seorang anggota polis dan seorang pelanggan wanita terbunuh apabila puak disyaki pemberontak menyerang tiga restoran semasa makan tengah hari di pekan hiburan terkenal ini.

Insiden itu berlaku apabila lelaki bersenjata yang memakai uniform sukarelawan pertahanan, datang dengan menaiki motosikal dan melepaskan tembakan rambang ke arah restoran berkenaan dan turut melempar bom tangan.

Tinjauan Bernama mendapati laluan ke Hotel Merlin yang menjadi sasaran letupan itu agak sunyi, bagaimanapun keadaan di pasar di kawasan itu adalah seperti biasa.

"Kehidupan mesti diteruskan dan apa pun kami tetap berhati-hati tidak kira di mana berada. Apa pun kami sangat berharap di kawasan pasar ini tidak menjadi sasaran letupan," kata peniaga buah Roseli Loseng, 38.

Ahmad Ruslan Sani Hakimi, 45, yang berniaga pakaian berkata walaupun sedikit berasa khuatir tetapi tetap mendapatkan stok pakaian di pekan ini bagi perniagaannya di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

"Kalau tidak bagaimana saya mahu meniaga dan takut atau tidak saya terpaksa ke sini juga," katanya yang turut merasai gegaran letupan itu ketika berada di zon bebas cukai terkenal itu semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi menasihati rakyat Malaysia mengelak pergi ke daerah bergolak itu.

"Jangan timbulkan masalah jika terpaksa ke sana dan patuhilah arahan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata pasukan keselamatan juga telah diarahkan supaya membuat kawalan lebih ketat di sempadan bagi memastikan tidak ada pihak yang menjadi buruan pihak berkuasa Thailand dapat meloloskan diri ke Malaysia.

Lebih 3,600 orang terkorban sejak puak pemisah di Selatan Thailand meneruskan perjuangan bersenjata mereka pada Januari, 2004 untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah yang dihuni majoriti umat Islam iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain