suria

Perhimpunan khas 15 Okt bincang pindaan perlembagaan Umno

KUALA LUMPUR: Anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung Khas Umno diperuntukkan masa sehari iaitu pada 15 Okt bagi membahas dan mencapai kesepakatan berhubung cadangan pindaan perlembagaan parti. Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini berdasarkan jadual gerak kerja Perhimpunan Agung Umno 2009, anggota perwakilan diperuntukkan dua hari iaitu pada 15 dan 16 Okt bagi mereka membahas dan memutus cadangan pindaan itu.

Bagaimanapun, sumber dalaman parti memberitahu, berlaku perubahan jadual berikutan kesuntukan masa Perhimpunan Agung Umno 2009 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Selesai Ucapan Dasar Presiden, Perhimpunan Agung Umno 2009 akan ditangguh dan Perhimpunan Agung Khas Umno akan bermula dengan pembentangan cadangan pindaan oleh Naib Presiden parti yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Selepas itu, ia akan dibuka untuk dibahaskan dan kalau tak ada perwakilan nak membahaskannya maka undian secara terbuka akan dijalankan. Yang pasti semua urusan pindaan akan diselesaikan hari itu juga," katanya.

Bernama difahamkan persidangan pada hari tersebut akan berakhir sekitar pukul 6 petang memandangkan anggota perwakilan perlu menghadiri Jamuan Perhimpunan Agung Umno yang dijadual pada pukul 8 malam di Dewan Tun Razak 1, PWTC.

Menurut sumber itu lagi pada keesokan harinya perhimpunan agung tahunan parti akan disambung semula dengan membahaskan ucapan dasar presiden.

"Ini pun akan dibahas dan digulung pada hari yang sama," katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2009 dijadual bermula dari 13 hingga 16 Okt ini dan akan dihadiri oleh lebih 2,500 perwakilan.

Buat kali pertama dalam sejarah Umno perhimpunan agung khas diadakan semasa perhimpunan agung tahunan berlangsung. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain