suria

Peperiksaan PMR bermula tanpa ada calon dijangkiti A(H1N1)

KUALA LUMPUR: Seramai 475,182 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menduduki peperiksaan itu di seluruh negara hari ini, tanpa seorangpun calon yang mempunyai gejala Influenza A (H1N1) dan terpaksa mengambil peperiksaan itu di hospital.

Ketua Pengarah Lembaga Peperiksaan Datuk Dr Salbiah Ismail berkata ketiadaan kes jangkitan H1N1 ini menunjukkan satu petanda baik bahawa caloncalon PMR mendengar saranan pihak Lembaga Peperiksaan supaya menjaga kesihatan mereka sebelum dan semasa menduduki peperiksaan PMR.

"Namun, hari ini ada juga beberapa kes calon yang diasingkan ke bilik pengasingan atas sebab sakit yang lain daripada H1N1 dan kita telahpun mengambil langkah yang sepatutnya termasuklah menyediakan kemudahan tempat yang selesa kepada calon ini bagi menduduki peperiksaan itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut Salbiah, seramai 24,383 calon PMR yang menduduki peperiksaan itu di 172 pusat sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini tidak ketinggalan menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum menduduki peperiksaan berkenaan.

Tinjauan Bernama di beberapa sekolah di sekitar ibu negara juga mendapati pihak sekolah membekalkan penutup mulut dan hidung kepada setiap calon peperiksaan tersebut.

Di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju, 384 calon PMR mula berkumpul di perkarangan dewan peperiksaan seawal 7.15 pagi bagi mendengar taklimat ringkas daripada guru sebelum menduduki peperiksaan.

Pengetua sekolah Saamah Muhayat dan beberapa guru memeriksa suhu badan pelajar sebelum membenarkan mereka menduduki peperiksaan.

"Kita dapati semua pelajar yang melalui ujian suhu ini tidak menunjukkan tandatanda demam dan batuk..Alhamdulillah, segala langkah pencegahan yang diambil sekolah sejak beberapa bulan lalu membantu kelancaran hari pertama PMR di sekolah ini," kata Saamah.

Selain itu, ibu bapa yang berada di perkarangan sekolah dilihat menunggu sehingga anak-anak mereka memasuki dewan peperiksaan.

Antaranya ialah Jamaluddin Abu Kasim, 45, yang mengambil langkah awal dengan membawa anaknya, Mohd Luqman Nur Hakim Jamaluddin mendapatkan suntikan anti-selesema di klinik beberapa minggu lepas.

"Ini merupakan langkah berjagajaga yang diambil oleh keluarga saya bagi menghidari anak saya daripada terkena jangkitan virus Influenza A(H1N1) yang sedang menular di seluruh negara pada masa ini.

"Malah, sebelum ini, anak saya ada gejala demam selesema dan saya segera membawanya berjumpa doktor. Dengan suntikan antiselesema dan penjagaan yang baik, dia dapat menduduki ujian hari ini," kata Jamaluddin.

Bagi Noriza Ali, 41, beliau memastikan anak sulungnya Izzah Syahira Salmey sentiasa sihat untuk menghadapi PMR.

"Saya telah mengambil pendekatan dengan mengawal aktiviti luar anak saya dan membanyakkan aktiviti dalam rumah bagi mengelak dijangkiti H1N1. Selain itu, saya juga menjaga pemakanannya setiap hari," katanya.

Selain itu, langkah sama turut diambil pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Titiwangsa yang mempunyai 162 calon PMR dan Sekolah Puteri Titiwangsa, Jalan Temerloh dengan 190 calon dalam mengawal penularan Influenza A(H1N1).

Pemeriksaan suhu badan telah dilakukan ke atas setiap calon keduadua sekolah itu dan SMK Puteri Titiwangsa mengasingkan seorang pelajar yang didapati demam campak.

Di PERLIS di mana 4,785 calon mengambil peperiksaan itu di 34 pusat peperiksaan, semua sekolah diarah mengemukakan laporan dua kali setiap hari mengenai kedudukan calon dan H1N1 kepada Bilik Gerakan Jabatan Pelajaran Perlis, menurut Pengarah Pelajaran Perlis Mansor Lat.

Mohd Khairil Ridzwan Azizan adalah calon tunggal yang mengambil PMR di Hospital Tuanku Fauziah di sini selepas dimasukkan ke hospital itu kerana mengalami sakit kencing manis.

Di SARAWAK, Pengarah Pelajaran Sarawak Dr Julaihi Bujang memohon kerjasama ibu bapa untuk memaklumkan pihak pengurusan sekolah secepat mungkin sekiranya anak mereka dijangkiti H1N1 dalam tempoh PMR sehingga 13 Oktober.

Sarawak mempunyai 40,663 calon yang menduduki peperiksaan itu di 314 pusat.

DI TERENGGANU, seramai 23,667 pelajar dari 126 sekolah menengah termasuk dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Negeri, menduduki peperiksaan selepas menjalani pemeriksaan suhu badan.

Pengarah pelajaran negeri Ariffin Embong berkata 13 pelajar mengambil peperiksaan di hospital setelah mengalami demam dan sakit biasa.

Di KEDAH, tiada laporan jangkitan H1N1 dilaporkan di kalangan 38,210 calon di 271 pusat peperiksaan.

Pengarah pelajaran negeri Shahidan Abdul Rahman berkata setiap pusat disediakan bilik khas untuk pelajar yang berisiko atau mempunyai tandatanda tidak sihat seperti demam dan selsema. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain