suria

Lelaki mati ditembak ketika sedang minum

PORT DICKSON: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala dan badan di hadapan sebuah kedai di Taman Pantai Emas, Lukut malam tadi.

Mayat K.Shummugan, 41, ditemui pemilik premis berkenaan pada kira-kira pukul 9 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Zaki Masroh ketika dihubungi berkata siasatan polis mendapati lelaki itu ditembak dari jarak dekat ketika dia sedang menikmati minuman di kedai itu.

"Pemilik kedai yang berada di belakang hanya mendengar bunyi seperti mercun," katanya.

Beliau berkata polis menemui satu kelongsong peluru yang melekat pada papan tanda berhampiran mayat lelaki itu.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan kongsi gelap, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain