suria

Khabar dari Paris, Najib masih punya masa kemas kini blog

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang dalam rangka lawatan empat hari ke Perancis, meluangkan masa daripada jadual tugasnya yang padat semalam untuk mengemaskini laman blog 1Malaysia.com.my.

Dalam tulisan terkini dari Paris, bertajuk "Malaysia Animated", Najib berbicara tentang lawatannya ke Cannes, di mana beliau menyampaikan ucapan kepada para peserta MIPCOMM, satu daripada pameran perdagangan antarabangsa terbesar mengenai industri bahan kandungan multimedia.

"Saya gembira lawatan kerja saya ke Paris secara kebetulan jatuh pada waktu penganjuran MIPCOMM tahun ini dan saya berupaya ke Cannes dari Paris untuk bertemu dengan penggiat utama industri kandungan multimedia," kata beliau.

Najib berkata pembangunan bahan kandungan, khususnya animasi digital, merupakan satu industri yang mempunyai potensi luas pada zaman siber ini, dan beliau percaya ia merupakan satu industri yang perlu diterokai dengan teliti.

Perdana Menteri percaya sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk menceburi industri itu secara besar-besaran.

"Saya dengan ikhlas berharap lebih banyak syarikatsyarikat Malaysia merebut peluang ini dan menggunakan sepenuhnya peluang yang ada pada mereka sekarang."

Najib berkata beliau menyedari terdapat ramai generasi muda Malaysia yang "sangat kreatif".

"Jika kita memberi fokus kepada industri ini dan mengembangkannya dengan baik, ia akan menyediakan peluang-peluang kepada generasi muda Malaysia, dari ibu kota dan juga kawasan bandar, menggunakan keupayaan artistik mereka sebagai sesuatu yang memberi manfaat dan menjana pendapatan lebih baik bagi diri mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain