suria

Khabar angin nak serang Malaysia, rakyat tak perlu panik - Tim. KPN

KAJANG: Rakyat negara ini diharap tidak panik dan jangan membuat sebarang andaian berhubung khabar angin kononnya satu kumpulan yang menggelar diri mereka 'Benteng Demokrasi Rakyat' (Bendera) akan menyerang Malaysia dengan buluh runcing ekoran beberapa isu berbangkit.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan menyiasat khabar angin itu dan sentiasa dalam keadaan siap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan demi menjamin keselamatan negara.

"Polis perlu menyiasatnya dulu. Kita mempunyai pakar dalam bidang pemantauan dan risikan untuk menentukan kesahihannya," kata Ismail kepada pemberita selepas melawat kawasan panas di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi di sini.

Beliau berkata rakyat tidak perlu takut dengan ancaman itu kerana polis sentiasa bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Kumpulan yang tidak berdaftar di Indonesia itu kononnya mahu menyerang negara ini berhubung beberapa isu berkaitan keduadua negara termasuk isu tarian Pendet dari Bali yang didakwa oleh mereka dicuri Malaysia.

Sementara itu, Ismail berkata lawatan beliau ke kawasan panas di daerah ini bertujuan meninjau kawasan-kawasan itu supaya bebas dari jenayah di samping untuk meningkatkan integriti pasukan.

Beliau berkata polis telah mengambil pelbagai langkah demi menjaga keselamatan rakyat seperti membuka balai polis bergerak di kawasan yang cenderung berlakunya jenayah.

"Kami sememangnya serius dalam mengurangkan kadar jenayah seperti ragut dan samun tepi jalan supaya semua orang tak kira apa bangsa atau pangkat merasa selesa tinggal di satu-satu kawasan terbabit," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain