suria

Empat penuntut dan seorang rakyat Malaysia masih di Padang

KUALA LUMPUR: Masih terdapat empat penuntut dan seorang rakyat Malaysia di Padang, Indonesia yang enggan pulang ke tanahair, meskipun telah diminta berbuat demikian ekoran gempa bumi kuat yang melanda Sumatera barat Rabu lepas.

Timbalan Menteri Luar Senator A.Kohilan Pillay berkata empat penuntut itu masing-masing dua di Padang dan dua di Bukit Tinggi mahu meneruskan latihan praktikal mereka di sana, manakala orang awam itu enggan pulang atas alasan peribadi.

"Kita sudah membawa pulang 333 penuntut yang kita berjaya kesan. Ada empat penuntut yang masih mahu duduk di sana dan nak buat praktikal di sana secara sukarela, kita tidak paksa mereka balik dan mereka disahkan selamat," katanya kepada Bernama di sini semalam. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Acumen Integrated Health Care dan Movement Science Academy Malaysia dengan Manipal Universiti dari India untuk program melanjutkan pelajaran dalam bidang sains kesihatan.

Mengenai usaha mengesan rakyat Malaysia yang menginap di hotelhotel di Padang ketika tragedi gempa bumi yang dikatakan sukar, beliau sendiri mengakuinya kerana pelbagai dokumen dan senarai daftar pengunjung di setiap hotel itu turut musnah dalam tragedi itu.

Kohilan berkata jika pasukan penyelamat terjumpa mayat di bawah runtuhan hotel-hotel berkenaan, sukar untuk mengesahkan sama ada mangsa adalah rakyat Malaysia selagi identitinya tidak disahkan.

Katanya apa yang menjadi kebimbangan pihaknya kini ialah jumlah pelancong-pelancong Malaysia yang berada di Padang semasa bencana itu berlaku kerana mereka sukar dikesan.

Justeru, beliau sekali lagi menyeru ibu bapa atau anggota keluarga di Malaysia yang mengetahui anggota keluarga atau kenalan mereka berada di Padang semasa gempa bumi itu berlaku, memaklumkan segera kepada Wisma Putra.

Setakat ini, katanya seramai 18 pelancong Malaysia telah dibawa balik menerusi penerbangan kedua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2 Okt lepas.

Katanya pasukan penyelamat Malaysia akan meneruskan usaha-usaha mencari dan menyelamat di kawasan tragedi sehingga kerajaan Indonesia sendiri membuat keputusan untuk memberhentikan usaha-usaha itu.

Beliau turut mengingatkan warga Malaysia yang ingin ke Padang pada masa ini supaya menangguhkan perjalanan mereka dan jika keadaan mendesak, meminta mereka memaklumkan pergerakan mereka kepada pejabat Konsul Malaysia di Medan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain