suria

Umno tak perlu buang masa layan isu surat layang - Setiausaha Agung

PORT DICKSON: Umno tidak akan terpedaya dengan mainan politik pembangkang berhubung isu penyebaran surat fitnah yang dilihat cuba untuk mencetuskan perbalahan dalaman antara pemimpin parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu mengambil sikap untuk tidak mempedulikan cabaran PAS supaya tampil mengambil tindakan perundangan bagi menyangkal kesahihan surat yang kononnya ditulis oleh beliau kepada Badan Perhubungan Umno Negeri agar memilih Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

"Kita tidak akan terjebak dengan permainan politik mereka... ini adalah taktik yang mereka gunakan untuk memperdayakan kita," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cabaran yang dikemukakan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub agar membuktikan kesahihan surat fitnah yang didakwanya diedarkan oleh pihak pembangkang.

Sebelum ini Tengku Adnan mendakwa pembangkang menggunakan taktik kotor dengan mengedarkan surat berunsur fitnah yang bertujuan memecah-belahkan hubungan antara Ibu Pejabat Umno, Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan Umno Bahagian Teluk Kemang khususnya.

Surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung Umno itu mula diedarkan di sekitar DUN Bagan Pinang sejak hari penamaan calon Sabtu lalu antaranya ditulis seperti berikut: "Pihak Majlis Tertinggi amat dukacita memaklumkan bahawa calon yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan terpaksa ditolak kerana Presiden parti mahukan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon PRK N31 Bagan Pinang."

Mengulas lanjut, beliau berkata sudah menjadi sikap pembangkang untuk mengheret Umno supaya terlibat dengan mainan politik murahan dan sempit.

"Buat apa kita nak layan permainan politik bodoh mereka itu, buang masa saja... kita tak ada masa nak main dengan mereka," katanya.

Artikel Lain