suria

Suri rumah pekak dan bisu mati dibunuh

JOHOR BAHARU: Seorang suri rumah yang pekak dan bisu ditemui mati dibunuh di rumahnya di Kampung MIC, Ulu Tiram, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin berkata mayat K.Malina, 47, ditemui di dalam beg kembara yang disorok di bawah sinki dapur rumahnya itu kira-kira pukul 7.30 pagi ini.

"Polis menemui mayat dalam beg berkenaan dengan keadaan separuh badan berlipat manakala tangannya diikat menggunakan kabel telefon," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat beberapa kesan tompokan darah pada mayat yang lengkap berpakaian itu.

Roslan berkata wanita itu yang tinggal bersamasama suami, dua anaknya serta tiga orang cucu di kawasan perumahan setinggan berkenaan dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya kira-kira 11 pagi semalam dan gerakan mencari wanita itu dilakukan sepasukan polis bersama unit anjing pengesan.

Polis sedang mengesan seorang daripada anggota keluarga itu bagi membantu siasatan, katanya.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi polis di talian 0-72212999 atau manamana balai polis. BERNAMA

Artikel Lain