suria

Sarjan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan peras ugut

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan hari ini dilepas dan dibebaskan daripada dua tuduhan melakukan pemerasan ke atas seorang pemandu lori lima tahun lalu.

Hakim Mohamad Sakeri Mamat membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Sarjan Abu Samah Jahaya.

Mohamad Sakeri berkata sepanjang perbicaraan lalu tiada saksi yang dapat membuktikan bahawa Abu Samah, 50, mengugut untuk meletakkan ganja ke dalam van K. Paramasivam, 45.

Bagi pertuduhan pertama Abu Samah didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen LRT berhampiran Kuil Hindu Jalan 2/48A, Bandar Baru Sentul di sini pada 3 Dis 2004 kira-kira pukul 6.20 petang.

Manakala bagi pertuduhan kedua iaitu pertuduhan pindaan, dia didakwa melakukan kesalahan yang sama di tempat letak motosikal, flat Seri Kelantan, di sini pada 2 Dis 2004, pukul 12.45 malam.

Bagi kesalahan itu Abu Samah didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Feb lalu Abu Samah yang bertugas di Jabatan Narkotik Ibupejabat Polis Sentul, dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan menerima rasuah RM600 daripada Paramasivam sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan meletakkan kenderaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen LRT pada hari yang sama dengan tuduhan pertama.

Abu Samah ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau akan menyambung tugasnya semula setelah digantung selama lima tahun dan amat bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Roziza Sidek manakala Abu Samah diwakili peguam Dr Mohd Radzuan Ibrahim.

Sepanjang perbicaraan sehingga Ogos lepas, 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. BERNAMA

Artikel Lain