suria

'Sami' didenda kerana buat kecoh bila pelanggan restoran enggan beri derma

JOHOR BHARU: Seorang 'sami' dari China didenda Mahkamah Majistret selepas dia mengaku bersalah menimbulkan kekecohan apabila pelanggan di sebuah restoran enggan memberinya derma.

Zhang Bo, 50, berasal dari Anhui, China yang memakai jubah kelihatan keliru ketika kenyataan pertuduhan dibacakan kepadanya.

Dia didakwa membuat kecoh di Restoran Ong Lai di Taman Universiti, Skudai pada pukul 12.30 tengah hari, 3 Oktober 2009.

Zhang dipercayai membuat bising, menggangu serta menakut-nakutkan pelanggan yang berada di restoran tersebut.

Apabila pemilik restoran berkenaan memintanya beredar, Zhang enggan berbuat demikian dan mencabarnya membuat laporan polis terhadapnya.

Majistret Hafizah Johor Ariff Johor kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50 di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, 1955.

Zhang bersetuju untuk membayar denda berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim merupakan pendakwaraya bagi kes ini sementara Zhang tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berbeza seorang pemuda berusia 18 tahun dipenjara enam bulan kerana mencuri 27 keping klip landasan keretapi.

Muhamad Redzuan Abd Karim mengaku bersalah terhadap kesalahan tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 30 September pada pukul 5.10 petang di sepanjang landasan keretapi antara Kempas Baru ke Kulai.

Majistret Mohd Fuad Abd Ghani menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas Muhamad di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Timbalan Pendakwaraya, Amira Sariaty Zainal merupakan pendakwaraya sementara tertuduh tidak diwakili sesiapa.

Artikel Lain